Bayaran pensijilan halal disaran dimanfaat untuk PKS

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mencadangkan agar kutipan bayaran pensijilan halal dimanfaatkan bagi menyokong peniaga kecil dan sederhana (PKS).

- Advertisement -

Menurutnya, peningkatan kutipan bayaran untuk pensijilan halal meningkat mendadak lebih daripada 100 peratus pada tahun 2012 3.6 juta kepada 10.3 juta dengan peningkatan jumlah pemegang sijil pengesahan halal Malaysia iaitu 4,000 pada tahun 2012 dan 9,655 pada tahun 2022.

“Sejauh manakah kutipan tahunan bayaran persijilan halal ini dimanfaatkan kembali untuk membantu peniaga kecil dan sederhana untuk mendapatkan sijil halal,” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau juga meminta respon kerajaan berhubung cadangan penubuhan audit bebas yang dapat memantau secara berkala pematuhan piawaian halal di premis makanan dan minuman.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, kutipan bayaran pensijilan halal mencatatkan peningkatan yang stabil, dengan jumlah kutipan sebanyak RM12.15 juta pada 2023, dan lebih RM80 juta telah dikumpulkan sejak 2012.

“Jadi antara yang ditekankan apakah kita boleh gunakan daripada bayaran ini. Kita telah mengadakan banyak program untuk memberikan pencerahan dan juga bimbingan diantaranya mengadakan program Halal On Track yang kita adakan di beberapa negeri Johor, Pahang, wilayah persekutuan.

“Kita juga ada menyediakan fasiliti dan klinik halal yang membimbing industri dan premis-premis untuk mendapatkan sijil pengesahan halal,” katanya.

Menjawab mengenai pemantauan audit bebas yang boleh memantau secara berkala beliau berkata, kerajaan telah meluluskan penambahan 100 juru audit halal dalam belanjawan terbaru.

Selain itu, katanya, sistem e-halal akan terus diperbaiki untuk meningkatkan ketelusan dan keberkesanan proses pensijilan.

Sebelumnya, Idris dalam soalan asal meminta menyatakan tindakan proaktif pihak kerajaan selain kempen kesedaran umum terhadap premis makanan dan minuman terbuka yang masih belum mendapat sijil Halal JAKIM terutamanya melibatkan premis yang sering dikunjungi oleh orang ramai termasuk orang Islam. – HARAKAHDAILY 6/11/2024

- Advertisement -