Suara Gaza bangkit semangat bantah kekejaman rejim Israel

- Advertisement -

KOTA BHARU: Gabungan NGO Suara Gaza akan mengadakan beberapa siri  Himpunan Aman Solidariti Suara Gaza di seluruh Kelantan bermula di Kota Bharu Jumaat ini.

- Advertisement -

Gabungan NGO tersebut termasuk Pertubuhan R Kelantan, Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia (Cakna Palestin), Persatuan Anak-anak Istimewa Kelantan (PAIK), Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Cawangan Kelantan.

Selain itu Yayasan Amal Malaysia (Kelantan), Ikatan Muslim Professional (Improf), International Relief And Humanitarian Outreach Malaysia (Reach), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Kelantan.

NGO lain termasuk Himpunan Kasih dan wakil kaum Cina, India serta Siam.

Pengerusi Gabungan NGO Suara Gaza Nazri Deraman berkata, himpunan aman akan diadakan di Dataran Muhammadi berhampiran Masjid Muhammadi Kota Bharu selepas solat Jumaat.

Katanya seramai 10 pimpinan dan wakil pelbagai NGO akan menyampaikan ucapan dan diikuti bacaan doa dan qunut nazilah.

“Oleh itu kami mengajak semua anggota masyarakat tidak kira kaum, fahaman politik serta anutan agama menyertai himpunan aman tersebut,” katanya di sini.

Kata beliau juga peserta digalakkan untuk membawa plakad, banner, bunting dan apa sahaja bahan menggambarkan solidariti perjuangan rakyat Palestin dan pembebasan Masjid Al Aqsa.

Beliau turut memperingatkan peserta yang akan menyertai himpunan itu tidak membuat sebarang provokasi, kekacauan dan gangguan semasa program berlansung.

“Peserta tidak dibenar membawa apa-apa bahan yang bersalahan dengan peraturan dan undang-undang di samping menjaga ketertiban serta menjaga sensitiviti semua pihak,” ujarnya.

Menurutnya juga sejak Badai Taufan Al Aqsa berlaku 7 Oktober 2023 terlalu banyak kemusnahan, kehancuran dan pembunuhan berlaku dalam tempoh tersebut.

Katanya seluruh dunia bangkit membantah kekejaman zionis Israel laknatullah tanpa mengira anutan agama, kaum dan batasan sempadan negara.

Begitu juga rakyat Malaysia dan Kelantan tidak ketinggalan menyatakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Namun setelah lebih setahun perang berkecamuk, rakyat Malaysia nampak hambar dalam isu kemanusiaan dan genosid terbesar di abad ini di Gaza, Palestin.

“Gabungan NGO Suara Gaza berasa amat bertanggungjawab menggerakkan kembali masyarakat terus membantah kekejaman rejim zionis Israel laknatullah dan menyokong perjuangan rakyat Palestin,” ujarnya.

Nazri turut merakam ucapan terima kasih kepada polis dan Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) kerana memberi kebenaran diadakan himpunan aman tersebut. – HARAKAHDAILY 24/10/2024

- Advertisement -