Bagaimana pastikan KL sebagai bandar pintar ASEAN?

Dato' Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia akan memegang peranan penting sebagai Pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) bermula Januari 2025, dengan fokus kepada pembangunan bandar pintar dan pengurusan perubahan iklim di Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran negara.

- Advertisement -

Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) menekankan kepentingan persiapan negara untuk memimpin ASEAN ke arah Smart Cities.

 “Bagaimanakah Kuala Lumpur, sebagai tuan rumah, dapat menangani perubahan iklim dan memastikan kejayaan bandar ini sebagai bandar pintar ASEAN,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

 Mumtaz juga mengemukakan persoalan tentang perkembangan Kuala Lumpur sebagai Pusat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG Center) yang pertama di rantau ASEAN.

Inisiatif ini, katanya, akan memainkan peranan penting dalam mengarusperdanakan pembangunan mampan di seluruh Asia Tenggara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya sedang bersedia ke arah itu.

“Sebenarnya kita telah pun ada Program Bandar Pintar (Smart Cities) khususnya di Kuala Lumpur.

“Kita akan menambah baik segala modul yang ada dalam program ini untuk memastikan perkara berkaitan antaranya keselamatan diambil kira dan ditingkatkan,” katanya.

Sebelum itu, semasa menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat), beliau berkata, persiapan Kuala Lumpur memerlukan tindakan bersepadu melibatkan pelbagai agensi kerajaan.

“Tidak hanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang terlibat, tetapi juga agensi lain seperti Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), agensi penguatkuasa, SWCorp, dan Alam Flora,” katanya.

Pada soalan asal, Onn meminta Perdana Menteri menyatakan tahap kesediaan Kuala Lumpur yang merupakan pintu masuk utamannegara, bagi Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, memandangkan isu banjir kilat belum diselesaikan dan boleh menjejaskan imej serta persiapan negara untuk acara tersebut. – HARAKAHDAILY 24/10/2024

- Advertisement -