Transformasi Padang Besar sebagai hab ekonomi sempadan

Rushdan Rusmi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) menekankan potensi besar yang dimiliki kawasan Padang Besar sebagai hab ekonomi sempadan.

Dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini, beliau mengusulkan agar kerajaan memperuntukkan lebih banyak dana bagi mempertingkatkan infrastruktur dan membangunkan Padang Besar sebagai pusat perdagangan rentas sempadan yang lebih berdaya saing.

Menurutnya, negeri Perlis yang bersempadan dengan Thailand sepanjang 106 kilometer, terutamanya di Padang Besar, bukan sahaja memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan, tetapi juga berpotensi besar untuk meningkatkan ekonomi sosioekonomi penduduk tempatan.

- Advertisement -

Bagaimanapun ujarnya, potensi ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa infrastruktur yang mantap dan efisien.

“Pembangunan Kompleks Perdagangan Bebas Cukai baharu di Padang Besar adalah langkah penting untuk merancakkan aliran perdagangan rentas sempadan yang bernilai RM3.5 bilion setahun.

“Pembangunan ini bukan sahaja dapat merangsang pertumbuhan ekonomi, tetapi juga mencipta 3,000 peluang pekerjaan untuk anak tempatan,” katanya.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan memastikan penduduk tempatan mendapat manfaat langsung daripada kekayaan hasil perdagangan dengan memberi keutamaan kepada produk tempatan serta ruang niaga untuk peniaga tempatan.

Di samping isu ekonomi, Rushdan juga menegaskan keperluan memperkukuh keselamatan sempadan di Padang Besar.

 Menurut beliau, peningkatan sebanyak 35 peratus cubaan pencerobohan sempadan serta rampasan barangan seludup bernilai RM15.6 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperhebat usaha keselamatan.

“Kita perlu mempercepatkan pelaksanaan sistem kawalan sempadan bersepadu yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan dron untuk meningkatkan pemantauan.

” Langkah ini bukan sahaja akan menjaga keselamatan negara, tetapi juga meningkatkan keyakinan pelabur untuk melabur di Padang Besar,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 22/10/2024

- Advertisement -