Bina semula Klinik Kesihatan Beseri perlu disegerakan

Rushdan Rusmi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar), menggesa kerajaan untuk mempercepatkan pembinaan semula Klinik Kesihatan Beseri yang dilengkapi dengan kemudahan rawatan kecemasan dan doktor pakar.

Beliau menekankan bahawa infrastruktur kesihatan di Padang Besar berada pada tahap yang kritikal, dengan klinik kesihatan sedia ada tidak mampu menampung populasi yang semakin meningkat.

Akibatnya, katanya kebanyakan pesakit terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah di Kangar, yang kini semakin padat.

- Advertisement -

“Saya menyeru kerajaan untuk mempercepatkan pembinaan semula Klinik Kesihatan Beseri.

“Ini bukan sahaja akan memberikan akses kepada rawatan yang lebih baik tetapi juga menyelamatkan nyawa dalam situasi kecemasan,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut menekankan masalah bekalan ubat yang tidak mencukupi di negeri Perlis, di mana beberapa jenis ubat keperluan tinggi sering terputus bekalan, memberi kesan buruk kepada pesakit yang bergantung pada rawatan berterusan.

Selain itu, Rushdan juga menegaskan pentingnya memperbaiki infrastruktur pendidikan di Perlis, terutamanya dengan jumlah pelajar yang semakin meningkat.

Menurut beliau, kekurangan bilik darjah dan kemudahan pendidikan lain memerlukan perhatian segera daripada kerajaan.

“Kerajaan perlu memperuntukkan dana bagi pembinaan sekolah baharu serta menaik taraf sekolah sedia ada.

“Kemudahan penting seperti makmal sains dan dewan serbaguna perlu disediakan agar anak-anak kita mendapat pendidikan yang berkualiti dan mampu menghadapi cabaran masa depan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 22/10/2024

- Advertisement -