
KUALA LUMPUR: Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) menyuarakan kritikan keras terhadap tindakan kerajaan yang mengumumkan pengurangan subsidi RON95 dalam Belanjawan 2025.
Beliau berkata, langkah tersebut bercanggah dengan kenyataan yang pernah dibuat oleh pemimpin kerajaan pada masa lalu, terutamanya dalam soal harga minyak yang sepatutnya lebih rendah untuk negara pengeluar petroleum seperti Malaysia.
“Bukankah suatu masa dahulu kerajaan yang ada pada hari ini pernah berkata bahawa seharusnya negara yang memiliki petroleumlah menikmati harga jualan runcit petrol yang rendah berbanding negara lain?
“Bukankah juga suatu masa dahulu, kerajaan yang ada pada hari ini pernah berceramah bahawa pemotongan subsidi tanda kegagalan sebuah kerajaan menjaga rakyatnya?
“Bukankah kerajaan hari ini pernah berkata bahawa akan ada kesan berantai inflasi yang teruk jika kerajaan hari ini mengambil keputusan untuk menarik balik subsidi? Melainkan segala apa yang diungkapkan suatu masa dahulu sekadar berfalasi tanpa fakta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Katanya, dalam pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan menetapkan perbelanjaan negara pada paras tertinggi, mencecah RM421 bilion atau 20.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Ini merangkumi RM335 bilion untuk perbelanjaan mengurus, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala perbelanjaan pembangunan pula berjumlah RM86 bilion, bersamaan 4.1 peratus daripada KDNK.
“Ironinya, belanjawan yang besar ini juga sedang menyaksikan bagaimana item subsidi dan bantuan sosial sedang mengalami pengurangan yang ketara sejak dibentangkan Belanjawan tahun ini.
“Pada tahun 2024, peruntukan di bawah item ini dipotong 14.6 peratus kepada RM61.4 bilion kemudian untuk tahun hadapan sekali lagi mengalami pengurangan 14.4 peratus kepada RM52.6 bilion. Antara bentuk subsidi yang akan dipotong tentulah subsidi RON95,” katanya.
Kata beliau, walaupun kerajaan mungkin berselindung di sebalik langkah kenaikan gaji minimum serta peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA, namun pastinya kesan kenaikan harga petrol akan terus menekan ekonomi rakyat dan kos sara hidup secara keseluruhannya.
“Ibaratnya satu pintu pertambahan pendapatan dibuka, berpuluh-puluh pintu kenaikan sara hidup yang lain juga dibuka sama. Semakin ramai akan berhadapan dengan defisit pendapatan khususnya golongan M40 serta julat umur 30 hingga 59 tahun.
“Mereka akan terus terkesan menerima segala dasar tempang serta tidak teliti oleh Kerajaan pada hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/10/2024











