Penerbangan: MOT pandang serius aspek keselamatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) prihatin dan memandang serius aspek-aspek keselamatan dan perihal selamat dalam memastikan pertumbuhan industri penerbangan selari dengan pematuhan terhadap piawaian-piawaian keselamatan yang telah ditetapkan.

Menurut menterinya, secara umumnya insiden pesawat yang perlu berpatah balik dikategorikan kepada dua keadaan iaitu Return to Chock (RTC) dan Air Turn Back (ATB).

Katanya, RTC adalah keadaan di mana pesawat diarah untuk berpatah balik ke posisi parkir.

“Biasanya keadaan ini berlaku setelah pesawat mengalami sebarang masalah atau isu dan perlu berpatah balik sebelum berlepas.

- Advertisement -

“Manakala ATB merujuk kepada keadaan di mana pesawat berpatah balik ke lapangan terbang asal selepas pesawat berlepas,” ujarnya.

Katanya, insiden itu biasanya akibat daripada isu kecemasan atau situasi tidak normal yang berlaku ke atas pesawat seperti masalah kegagalan enjin, isu teknikal dan kecemasan seperti isu kesihatan atau perubatan.

Tambahnya, bagi tahun 2023, sebanyak 248 insiden yang melibatkan RTC dan 13 insiden ATB direkodkan sementara tahun 2024 setakat Oktober, sebanyak 181 insiden RTC dan 18 insiden ATB direkodkan.

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan, Shaharizukirnain Abd. Kadir [PN-Setiu] di Dewan Rakyat, yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan strategi Kementerian dalam memastikan penyelenggaraan pesawat Malaysia Airline (MAS) dijalankan sebaik mungkin dalam keadaan kos penyelenggaraan dijangka meningkat dengan mendadak dan jelaskan faktor-faktor yang menyebabkan masalah teknikal sering kali berlaku.

Katanya lagi, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) selaku Badan Berkanun Persekutuan yang bertanggungjawab dalam pengawalseliaan teknikal penerbangan awam negara telah meningkatkan pemantauan dan menjalankan siasatan terhadap sebarang insiden yang melibatkan pesawat-pesawat kendalian syarikat-syarikat penerbangan Malaysia.

“Dalam hubungan ini, CAAM telah menjalankan siasatan mengejut ke atas syarikat penerbangan MAB termasuk syarikat MAB Engineering Services (MABES) yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan pesawat-pesawat MAB pada 24 hingga 28 Jun 2024,” ujarnya.

Tambahnya, berdasarkan dapatan siasatan tersebut, antara isu signifikan yang menyumbang kepada beberapa insiden teknikal pesawat MAB adalah kemungkinan disebabkan masalah komponen mekanikal dan kekurangan tenaga pekerja mahir yang diperlukan untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan pesawat dan meningkatkan tahap keberkesanan sistem pengurusan kualiti serta sistem pengurusan perihal selamat oleh syarikat penerbangan MAB dan MABES.

Oleh yang demikian, jelasnya bagi mengenal pasti tindakan penambahbaikan terhadap hasil siasatan mengejut CAAM, MAB telah menyediakan pelan mitigasi antaranya adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan pesawat ke tahap waspada bagi membolehkan fokus diberikan terhadap kebolehpercayaan pesawat.

Pada masa yang sama, katanya MAB juga telah melaksanakan proses perolehan pesawat baharu sebagai salah satu strategi meningkatkan keyakinan penumpang terhadap syarikat penerbangan tersebut selain memastikan ketersediaan pesawat yang mencukupi untuk memenuhi keperluan penerbangan yang telah dijadualkan. – HARAKAHDAILY 22/10/2024

- Advertisement -