RM183.1 juta cukai rokok elektronik, vape 2021-2024

Dato' Dr Ahmad Yunus Hairi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cecair atau gel tidak bernikotin yang digunakan dalam rokok elektronik dan vape tertakluk kepada kenaan duti eksais pada kadar 40 sen per mililiter.

Menteri Kewangan berkata, semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape turut dikenakan duti eksais tetapi pada kadar ad-valorem 10 peratus.

Tambahnya, tarikh kuat kuasa pengenaan duti eksais itu adalah mulai 1 Januari 2021.

Selain itu, ujarnya cecair atau gel yang mengandungi nikotin dan digunakan dalam rokok elektronik dan vape juga dikenakan duti eksais pada kadar 40 sen per mililiter.

- Advertisement -

Katanya lagi, tarikh kuat kuasa pengenaan duti eksais itu adalah mulai 1 Mei 2023.

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi [PN-Kuala Langat] yang meminta Menteri Kewangan menyatakan berapa jumlah cukai yang dapat dikutip daripada produk merokok dan cecair/gel bernikotin semenjak dikeluarkan daripada Akta Racun.

Ahmad Yunus juga ingin tahu berapa hasil daripada cukai tersebut yang telah disalurkan kepada KKM bagi tujuan perawatan pesakit NCD.

Menteri itu menambah, jumlah keseluruhan kutipan hasil cukai bagi produk rokok elektronik dan vape serta cecair atau gel yang mengandungi nikotin atau tidak bernikotin adalah sebanyak RM183.1 juta bagi tempoh dari tahun 2021 hingga 2024.

Daripada jumlah itu, ujarnya kutipan hasil cukai bagi produk merokok bernikotin adalah sebanyak RM100.3 juta.

Katanya, berhubung mekanisme penyaluran semula kutipan cukai ke atas cecair/gel bernikotin yang digunakan di dalam rokok elektronik dan vape, Artikel 97(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa segala hasil dan wang tidak kira bagaimana jua pun diperdapatkan atau diterima oleh Persekutuan hendaklah dibayar ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.

Dengan kata lain, jelasnya kutipan hasil Kerajaan termasuk daripada pelbagai jenis cukai hendaklah diakaunkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.

“Sebarang pengeluaran daripada kumpulan wang ini untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan termasuk program dan projek berkaitan penjagaan kesihatan rakyat perlu melalui proses penyediaan belanjawan tahunan negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/10/2024

- Advertisement -