Pelumba cilik Terengganu juara FIM MiniGP Malaysia Series 2024

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu merakamkan ucapan terima kasih kepada Zulfahmi Khairuddin dan ZK Racing yang telah membimbing semua pelumba cilik.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim menerusi satu hantaran di laman Facebooknya.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu, kami rakamkan ucapan terima kasih buat Zulfahmi Khairuddin dan ZK Racing yang telah membimbing semua pelumba-pelumba cilik ini termasuk Hakim Danish dan Qabil Irfan,” katanya.

Ini susulan beliau bersama-sama pelumba cilik anak-anak Terengganu yang menyertai pentas FIM MiniGP Malaysia Series 2024 di PETRONAS Sepang International Circuit, semalam.

- Advertisement -

Menurutnya, semua mereka telah berusaha memperagakan aksi yang membanggakan di setiap perlumbaan.

“Pendedahan buat semua pelumba dalam setiap persaingan amat penting untuk proses kematangan dan pengalaman di litar,” ujarnya.

Katanya, Qabil Irfan terus mengungguli kategori 190cc sebagai juara dan akan bersaing di Valencia, Sepanyol pada November ini.

Manakala Adam Danial terpaksa akur apabila jentera motosikalnya rosak dalam perlumbaan pertama.

Tambahnya, bagi kategori 160cc menyaksikan Airel Marzuki berada pada nombor dua dalam kedua-dua perlumbaan, yang juga bakal bersaing di Valencia bagi kategori yang sama November ini.

“Beberapa pelumba cilik lain bagi kategori ini seperti Qasha Irfan, Danial Syazwan dan Syed Adam Zakwan terus bersinar dalam sukan permotoran ini,” katanya.

Katanya lagi, manakala bagi acara 110cc atau Ohvale Junior Championship, meletakkan kedudukan Aryan Mikhail berada pada nombor tiga dalam perlumbaan pertama dan kedudukan kedua dalam perlumbaan kedua.

“Insya-Allah semua berbakat dan mampu menuju ke arah yang lebih cemerlang pada masa yang akan datang,” ujarnya yang juga ADUN Tepuh. – HARAKAHDAILY 20/10/2024

- Advertisement -