Padi: Kerajaan Kelantan hargai bantuan Pusat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri sentiasa memberi ‘lampu hijau’ terhadap sebarang hasrat agensi Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan sektor penanaman padi di Kelantan.

- Advertisement -

Exco Pertanian, Agromakanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, ia melibatkan pembinaan Pam Mudah Alih di Kemubu dan Lemal melibatkan peruntukan RM20 juta.

Selain itu Kerajaan Persekutuan turut menyalurkan dana sebanyak RM21 juta untuk pembaikan cerucuk keping (sheet pile) di Stesen Pam Kemubu bagi meninggikan paras air Sungai Kelantan.

“Peruntukan kedua-dua projek ini disalurkan terus kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), tidak melalui kerajaan negeri dan kita setuju untuk memberi kelulusan projek dirancang ini.

“Ia diterjemahkan dua kali Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, 26 Jun dan 18 September, kedua-dua projek ini telah mendapat kelulusan kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising itu berkata, kerajaan negeri akan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) termasuk KADA.

Menurutnya, usaha itu bagi memastikan pelaksanaan kedua-dua projek tersebut dapat berjalan dengan lancar sekali gus memberi manfaat kepada petani serta mencapai keterjaminan makanan negara.

Beliau berkata, situasi semasa termasuk perubahan iklim global memberi cabaran kepada kerajaan untuk memastikan industri padi dan beras negara dapat menghasilkan makan mencukupi kepada rakyat.

“Cabaran dan ujian perubahan iklim sememangnya amat memberi kesan kepada sektor penanaman padi dan beras kita, diharapkan petani terus istiqamah, tidak berputus asa tanam padi.

“Kita mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Menteri KPKM dan warga KPKM atas kebersamaan dalam menyelesaikan isu pengairan padi di Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/10/2024

- Advertisement -