Selamat hari lahir buat Tuan Guru Abdul Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yayasan Permata Ummah (YPU) mengucapkan selamat hari lahir buat penaungnya, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“77 tahun sudah berlalu sejak lahirnya sebuah permata yang sangat berkilauan buat tanah air yang kita cintai ini.

“Seorang figura yang sangat berpengaruh dan penting buat umat Islam di Malaysia,” kata YPU menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Menurutnya, setiap minggu Tuan Guru akan memberikan kuliah di Masjid Rusila sejak beliau menggantikan ayahandanya.

- Advertisement -

Tambahnya, hampir setengah abad hayatnya dihabiskan untuk mendidik umat khususnya bumi Malaysia dan Terengganu sejak bermula kuliah beliau pada tahun 1976.

“Tuan Guru sememangnya seorang tokoh yang sangat dikenali di peringkat antarabangsa atas dasar keterlibatan beliau dalam gerakan Islam sedunia seperti pernah memegang jawatan sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah dan Ahli Majlis Tertinggi Majma‘ Taqrib Antara Mazhab Islam,” ujarnya.

YPU menambah, tidak dilupakan jasa-jasa dan peranan Tuan Guru terutamanya dalam membawa misi perpaduan ummah dan misi damai untuk umat Islam seperti dalam krisis Perang Teluk, krisis Acheh, krisis Yaman dan banyak lagi.

Katanya lagi, Tuan Guru yang terkenal dengan panggilan Ayah Chik dalam kalangan penyokong dan anak muridnya telah tersenarai sekali lagi dalam penerbitan 500 Muslim Paling Berpengaruh (500 Most Influential Muslim) dan ia merupakan kali kesepuluh berturut-turut beliau disenaraikan sejak 2016.

“Semoga Allah SWT memanjangkan umur murabbi ummah yang kami kasihi ini dalam kebaikan dan mengurniakan beliau kesihatan yang baik untuk terus menaburkan bakti buat ummah.

“Selamat hari lahir buat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang,” tambah YPU lagi. – HARAKAHDAILY 20/10/2024

- Advertisement -