
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi menerima jemputan sebagai tetamu terhormat dalam majlis ‘CEOs Corporate Dinner’ bersama Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah, di sini semalam.
Menurutnya, dalam majlis yang sama turut diadakan Peluncuran The Best Selling Book ‘100 CEOs & Diplomats of Pakistan 2024 & CEO Lifestyle Award’.
Beliau berkata, majlis itu diadakan di seluruh dunia melibatkan tokoh-tokoh korporat dan diplomat Pakistan, dan dimaklumkan bahawa bulan ini juga akan diadakan di Bali, Indonesia; November di London, United Kingdom; dan Januari 2025 di Washington, Amerika Syarikat.
“Syed Ahsan Raza Shah mengalu-alukan kerjasama Malaysia-Pakistan diteruskan. Beliau turut menjemput delegasi dari Perlis untuk ke Pakistan,” ujar beliau dalam media sosial miliknya.
Menurutnya, Syed Ahsan sebelum ini menyatakan bahawa Pakistan adalah negara dengan populasi terbesar rakyat Muslim di dunia dan tidak menghadapi sebarang isu mengenai halal.
Bagaimanapun, jelasnya, Malaysia adalah peneraju dalam pensijilan halal yang perlu dimanfaatkan, dan mereka sangat teruja untuk menjalin kerjasama tersebut.
“Didoakan agar hubungan kerjasama ini terus berkekalan. Terima kasih atas jemputan yang bermakna ini terutama Mr Usman Nisar Chaudhry, CEO Panjtan Group selaku hos penganjuran di Malaysia.
“Kebetulan dapat ketemu sahabat-sahabat lama ketika terlibat konferen di luar negara yang turut dijemput,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/10/2024











