Plantar fasciitis: Musuh senyap wanita berusia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Plantar fasciitis adalah penyebab umum sakit tumit dan tapak kaki pada orang dewasa, dengan insiden seumur hidup sekitar 10 peratus, dan sering terjadi pada wanita berusia 40 hingga 60 tahun.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, keadaan itu disebabkan oleh radang atau koyakan kecil pada jaringan plantar fascia, yang membentang dari tumit hingga jari-jari kaki, akibat tekanan berlebihan seperti berdiri lama, berlari, atau memakai selipar yang tidak mendukung.

“Tekanan kepada tapak kaki terutamanya di bahagian fascia ini boleh menyebabkan ianya menjadi stres yang berulang-ulang, akhir sekali menyebabkan akan berlaku radang ataupun koyak kecil di bahagian fascia,” ujar beliau dalam media sosial miliknya hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, gejala paling umum plantar fasciitis adalah sakit tajam di tumit, terutama saat bangun tidur atau setelah duduk lama, dan deria sakit itu biasanya berkurang setelah beberapa minit berjalan.

Beliau berkata, antara faktor risiko utama terjadinya plantar fasciitis termasuk berat badan berlebihan, aktiviti fizikal yang berlebihan, serta struktur kaki yang tidak normal seperti kaki datar atau lengkungan kaki yang tinggi.

Beliau menjelaskan bahawa, sebahagian besar penyakit plantar fasciitis dapat dirawat secara bukan bedah melalui istirahat, latihan peregangan (fisioterapi), penggunaan ais, dan pemakaian selipar yang mendukung.

“Pemilihan selipar yang lembut tapaknya juga amat penting untuk mengurangkan tekanan kepada tapak kaki. Dalam kes yang jarang, pembedahan mungkin diperlukan jika perawatan konservatif tidak berhasil,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/10/2024

- Advertisement -