
KUALA TERENGGANU: Seramai 39 Pegawai Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) kumpulan kedua daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Muda (YIO) di sini, semalam.
Majlis Tamat Latihan dan Pentauliahan Pegawai Integriti Muda Kor SUAR, dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA.
Pegawai kadet yang terdiri daripada 12 kadet lelaki dan 27 kadet wanita itu merupakan para pelajar yang terdiri daripada pelbagai jurusan.
Azam berkata, kursus Kor SUAR itu diwujudkan bukan sahaja untuk melahirkan mahasiswa terpelajar tetapi juga membina sahsiah diri sebagai mahasiswa yang mempunyai tatakelola dan integriti tinggi.
Menurutnya, para pelajar yang menyertai kursus itu akan diberi penekanan mengenai nilai-nilai integriti kerana integriti bukan satu perkara yang mudah.
Pada semester akan datang, ujarnya kursus itu akan diperkasakan dengan program latihan persenjataan yang bertujuan membentuk sahsiah dan juga sebagai simbolik menghadapi dunia realiti pada masa akan datang.
Pada majlis yang sama, buat julung kalinya logo dan bendera Kor SUAR turut diluncurkan yang melambangkan sifat amanah, tegas dan adil yang menjadi prinsip kepada penyatuan warga kadet.
Ini bagi menjayakan aspirasi SPRM dalam setiap tindakan serta semangat yang berani dan sentiasa berjuang membanteras jenayah rasuah.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA, Dato’ Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff berkata, UniSZA merupakan universiti awam pertama yang menawarkan kursus Kor SUAR.
Katanya, pelajar yang ditauliahkan itu merupakan pelapis kepimpinan negara yang bakal mencorak masa depan serta hala tuju negara yang lebih gemilang.
Dalam majlis itu, Che Muhammad Daniel Adry Che Ros menerima Anugerah Kadet Keseluruhan Terbaik, Nuraneesa Farzana Mohamad Yusof (Anugerah Akademik Terbaik) dan Mohamad Alif Amza Afendi (Anugerah Khas Kor SUAR). – HARAKAHDAILY 20/10/2024











