
JOHOR BAHRU: Golongan T15 dirasakan telah cukup dihukum biarpun jasa mereka membayar cukai untuk negara apabila pelbagai bantuan subsidi kepada mereka dimansuhkan atau ditarik balik.
Yang Dipertua PAS Kawasan Johor Bahru, Dr Mohd Mazri Yahya berkata, bukan sekadar bantuan subsidi tertentu seperti yuran universiti anak-anak mereka, penggunaan eletrik dan banyak lagi, namun kini subsidi penggunaan petrol RON95 pula akan ditarik.
“Tidak salah untuk menyumbang kembali kepada rakyat terutama pada masa yang memerlukan ini, tetapi janganlah menggunakan terma-terma yang tak masuk akal seperti golongan ‘mahakaya’ dan sebagainya.
“Malah mungkin sebahagian T15 ini pendapatan isi rumah mereka lebih seratus dua ratus ringgit sahaja daripada rakan-rakan di tangga T16 dan seterusnya,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata demikian dalam satu hantaran di laman _Facebook_ beliau sebentar tadi.
Ia sebagai mengulas pengumuman Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2025 yang bakal menarik balik subsidi petrol RON95 kepada golongan tersebut.
Dr Mazri dalam hantaran itu turut memberikan beberapa cadangan mekanisme pembelian petrol RON95 yang bakal diberikan kepada golongan bukan T15.
“Cara pertama, beli minyak dahulu dengan harga pasaran untuk semua rakyat Malaysia dan kemudian memohon ‘reimbursement’ daripada kerajaan bagi 85 peratus rakyat yang layak.
“Cara ini akan lebih menyusahkan rakyat dan memerlukan pekerjaan tambahan kepada pegawai kerajaan yang menguruskan,” katanya.
Selain itu, jelas beliau, kerajaan boleh menggunakan ‘kad subsidi’ kepada 85 peratus rakyat Malaysia yang layak dengan had siling penggunaan.
Jelas Dr Mazri, kad itu boleh digunakan bukan hanya untuk petrol, tetapi semua bantuan subsidi kerajaan, permohonan biasiswa, bantuan kewangan dan sebagainya.
Cara ini menurut beliau, mungkin akan menyusahkan pada permulaan perlaksanaan tetapi memudahkan pada hari kemudian.
“Cara ketiga dengan menggunakan kad pengenalan ketika membeli minyak. Ini akan menyusahkan pembeli minyak dan operator minyak dan kemungkinan disalahguna.
“Ada sebahagian T15 menggunakan perkhidmatan pemandu yang boleh sahaja menggunakan kad pengenalan mereka (pemandunya) ketika membeli minyak,” kata beliau.
Sementara kaedah keempat pula katanya, ialah dengan cara pembelian minyak petrol seperti mekanisme pembelian diesel di mana semua bayar harga sama, tetapi kerajaan memberi bayaran subsidi kembali melalui Budi Madani contohnya. – HARAKAHDAILY 20/10/2024











