Kelantan sambut kempen kesihatan perangi gula

- Advertisement -

KOTA BHARU: Peniaga terutama kedai-kedai makan dijemput bersama kerajaan negeri bagi memerangi pengambilan gula menerusi satu program ‘War on Sugar’.

- Advertisement -

Program ini turut mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Guchil dalam usaha memberi kesedaran kepada anggota masyarakat agar tidak menggunakan bahan berkenaan secara berlebihan.

Petugas program telah melakukan ‘walkabout’ ke kedai-kedai makan sekitar Pasar Borong Sri Guchil dan Dataran Peladang untuk berkempen kepada peniaga agar bersama kerajaan memerangi pengambilan gula.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, program itu diadakan sempena Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Negeri Kelantan 2024.

“Kempen ini juga menjadi agenda utama Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi tahun ini berikutan terdapat peningkatan prevalens berlebihan berat badan dan obesiti.

“Perkara itu berlaku disebabkan pengambilan gula di kalangan rakyat Malaysia tahun 2023 lalu iaitu 54.5 peratus berbanding 50.1 peratus pada 2019,” katanya ketika merasmikan majlis itu di sini, semalam.

Menurutnya, hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 menunjukkan Malaysia masih tersenarai antara negara tertinggi di Asia Tenggara dengan nisbah satu daripada enam orang rakyat Malaysia menghidap diabetes.

Katanya, objektif BMSS adalah untuk merealisasikan hasrat kerajaan ke arah melahirkan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera menerusi pembudayaan hidup sihat dengan meningkatkan literasi kesihatan dan solidariti promosi antara agensi, NGO, swasta dan komuniti.

Menurutnya, aktiviti BMSS akan memfokuskan kepada lima domain pembudayaan hidup sihat iaitu aktiviti fizikal, minda sihat, pemakanan sihat dan selamat, pencegahan tingkah laku berisiko serta kebersihan diri dan persekitaran.

“Semoga kita dapat melahirkan rakyat Kelantan yang sihat lagi sejahtera dengan mula mengurangkan pengambilan gula.

“Satu sudu teh sudah cukup, kurang adalah lebih baik. Tambahkan manis dalam senyuman, kurangkan gula dalam minuman,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 20/10/2024

- Advertisement -