Inisiatif jual ayam murah ringan beban penduduk

- Advertisement -

PADANG BESAR: Sebanyak 600 ekor ayam habis terjual dalam masa hanya lima jam daripada inisiatif khas yang dijalankan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun.

- Advertisement -

Program ini bertujuan membantu mengurangkan beban kos perbelanjaan harian penduduk melalui jualan ayam pada harga diskaun yang amat menarik.

Menurut Haziq Asyraf, idea untuk mengadakan jualan ini timbul daripada perbincangan mengenai cara-cara meringankan beban kos sara hidup penduduk, terutama dalam situasi ekonomi yang mencabar.

“Walaupun sumbangan ini sedikit, kami berharap ia dapat membantu meringankan perbelanjaan harian keluarga,” katanya pada jualan diadakan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Beseri, di sini hari ini.

Dalam jualan tersebut, setiap penduduk dihadkan untuk membeli dua ekor ayam pada harga RM10, namun bagi pembelian secara kilo, tiada had dikenakan, memberikan fleksibiliti kepada pembeli.

Jualan ini buat masa ini terbuka kepada penduduk DUN Beseri sahaja, memandangkan stok ayam adalah terhad.

Menurut Haziq Asyraf, pihaknya sedang berbincang dengan kilang pengeluar untuk mengadakan jualan ini secara dua minggu sekali, bergantung kepada situasi semasa dan bekalan dari pihak pengeluar.

“InsyaAllah, kita akan usahakan inisiatif ini diteruskan bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat manfaat, sekali gus meringankan beban perbelanjaan harian mereka,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 20/10/2024

- Advertisement -