
BELANJAWAN negara bukan sekadar angka dan peruntukan, ia adalah cerminan visi dan tanggungjawab kerajaan dalam memastikan pembangunan ekonomi yang adil serta kesejahteraan setiap lapisan masyarakat. Al-Quran dan hadis telah lama menyediakan panduan yang komprehensif mengenai pengurusan kekayaan dan perbelanjaan, menekankan aspek keadilan, amanah, dan tanggungjawab. Dalam dunia moden yang penuh dengan cabaran ekonomi, prinsip-prinsip ini apabila digabungkan dengan teori ekonomi seperti redistribusi kekayaan, perbelanjaan berhemah, dan pengurusan hutang, membentuk asas kukuh untuk merangka belanjawan negara yang mampan. Dengan belanjawan yang berteraskan prinsip ini, negara bukan sahaja dapat memastikan pertumbuhan ekonomi, tetapi juga menjaga kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Firman Allah Taala dalam Surah Hud, ayat 85:
وَيَا قَوْمِ أَوْفُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ وَلَا تَبْخَسُوا النَّاسَ أَشْيَاءَهُمْ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ
“Wahai kaumku, sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan adil, dan janganlah kamu merugikan manusia terhadap hak-hak mereka, dan janganlah kamu membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat kerosakan.”
Ayat ini mengingatkan agar kita berlaku adil dalam pengukuran dan tidak mengurangkan hak orang lain, sekali gus menegaskan prinsip keadilan dan ketelusan dalam pengurusan harta dan kewangan.
1. Keadilan dalam agihan kekayaan (العدل في توزيع الثروات)
Firman Allah Taala dalam surah Al-Hasyr, ayat 7:
كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ
“Supaya harta itu tidak hanya beredar di kalangan orang-orang kaya di antara kamu”
Ini disebut sebagai Redistributive Policies dalam teori ekonomi moden, melibatkan penggunaan cukai progresif dan subsidi untuk mengurangkan ketidakseimbangan kekayaan. Pengagihan kekayaan yang adil melalui cukai progresif dan subsidi membantu mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi antara golongan kaya dan miskin.
2. Perbelanjaan berhemah dan tidak membazir (الإنفاق بحكمة وعدم الإسراف)
Dalam Surah Al-Isra’, ayat 26-27, Allah berfirman:
وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا. إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ
“Dan janganlah kamu menghamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan”
Dalam istilah ekonomi disebut Efficient Allocation of Resources, iaitu suatu prinsip perbelanjaan berhemah memastikan pengelolaan sumber yang cekap dan tidak membazir. Penggunaan sumber secara cekap dan berhemah memastikan bahawa setiap sen yang dibelanjakan membawa manfaat besar kepada rakyat.
3. Keutamaan keperluan asas (الأولوية للحاجات الأساسية)
Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَن أَصبَحَ مِنكُم آمِنًا في سِربِهِ، مُعافًى في جَسَدِهِ، عِندَهُ قُوتُ يَومِهِ، فَكَأَنَّمَا حِيزَتْ لَهُ الدُّنْيَا
“Barangsiapa di kalangan kamu yang bangun pagi dalam keadaan aman di rumahnya, sihat tubuh badannya, dan mempunyai makanan untuk hari tersebut, maka seolah-olah dunia ini diberikan kepadanya”
Disebut dalam istilah ekonomi sebagai Maslow’s Hierarchy of Needs. Memastikan keperluan asas rakyat seperti kesihatan dan makanan tercapai merupakan langkah penting dalam menjamin kesejahteraan sosial. Memastikan keperluan asas rakyat dipenuhi melalui perkhidmatan kesihatan dan subsidi barangan keperluan adalah penting untuk menjamin kesejahteraan rakyat.
4. Keseimbangan antara pendapatan dan perbelanjaan (التوازن بين الإيرادات والنفقات)
Dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286:
لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya”
Balanced Budget Theory ini mampu menjamin keseimbangan belanjawan, mengelakkan defisit yang berpanjangan dan memastikan kestabilan fiskal sesebuah negara. Keseimbangan antara pendapatan dan perbelanjaan memastikan negara tidak terjerumus ke dalam defisit yang besar.
5. Transparensi dan akauntabiliti (الشفافية والمسؤولية)
Dalam hadis sahih riwayat Al-Bukhari, Nabi SAW bersabda:
كُلُّكُم رَاعٍ وَكُلُّكُم مَسْؤولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya”
Fiscal Responsibility and Transparency sangat penting dalam pengurusan kewangan, memastikan amanah dijaga dengan sebaiknya. Ketelusan dan akauntabiliti adalah asas kepada kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
6. Penjagaan amanah dan hak rakyat (رعاية الأمانة وحقوق الرعية)
Rasulullah SAW memberi ancaman keras melalui sabdanya:
“ما من عبدٍ يسترعيه الله رعيةً يموت يومَ يموتُ وهو غاشٌّ لرعيتِه إلَّا حرَّم اللهُ عليه الجنَّةَ”
“Tidaklah seorang pemimpin yang memimpin rakyatnya, kemudian dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya, kecuali Allah mengharamkan syurga atasnya” [Riwayat Muslim]
Pernah berlaku di zaman Khalifah Saidina Umar Al-Khattab RA kisah yang dinukilkan seorang tabien bernama Abdullah bin As-Sa’di telah diamanahkan oleh Saidina Umar al-Khattab untuk mengutip cukai (jizyah) dari Bahrain. Abdullah menempuh perjalanan lebih 1,200 kilometer dan menyerahkan kesemua hasil kutipan cukai kepada Saidina Umar tanpa hilang diambil walau satu dirham untuk dirinya. Ketika Saidina Umar melihat kejujuran dan amanah Abdullah, beliau memujinya dengan berkata: “Engkau telah melaksanakan tugasmu dengan penuh amanah.” Kemudian, Saidina Ali turut menambahkan kepada Saidina Umar “عففت يا أمير المؤمنين فعفوا” “Engkau menjaga amanah, wahai Amirul Mukminin, maka mereka juga menjaga amanah”
Good Governance atau Tadbir urus yang baik menjamin hak rakyat dilindungi dengan telus dan beramanah. Pemimpin yang berintegriti akan memupuk sikap amanah di kalangan pegawai dan rakyat. Penjagaan amanah dalam menguruskan kekayaan dan hak rakyat adalah kunci kepada pentadbiran yang telus. Pemimpin yang amanah, seperti yang ditunjukkan oleh Saidina Umar, akan mewujudkan tadbir urus yang baik, yang mengelakkan penyelewengan dan memastikan hak rakyat dilindungi dengan sebaiknya
7. Mengutamakan pengurangan hutang (تقليل الديون)
Dalam Surah Al-Baqarah, ayat 280, Allah berfirman:
وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍۢ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ
“Dan jika orang yang berhutang berada dalam kesulitan, maka berilah tangguh sampai dia mempunyai kelapangan”
Debt Sustainability adalah penting untuk memastikan negara tidak terbeban dengan hutang yang membebankan generasi akan datang, sekaligus mengekalkan kestabilan fiskal.
8. Menggalakkan zakat, sedekah dan tanggungjawab sosial korporat (CSR)
Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah, ayat 103:
“خُذۡ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡ صَدَقَةٗ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّيهِم بِهَا”
“Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka”
Wealth Redistribution and Social Welfare Zakat dan sedekah adalah alat penting dalam redistribusi kekayaan, membantu golongan memerlukan dan mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi. Selain itu, Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh syarikat korporat turut berperanan dalam menyumbang kepada masyarakat melalui inisiatif sosial, selari dengan konsep corporate social responsibility. CSR membantu membangunkan masyarakat dengan memberi pulangan sosial yang signifikan.
Gabungan zakat, sedekah, dan CSR berperanan penting dalam mengurangkan jurang ekonomi, menyokong golongan rentan, dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
9. Perancangan dan pengurusan sumber jangka panjang (التخطيط وإدارة الموارد على المدى الطويل)
Firman Allah SWT dalam Surah Yusuf, ayat 47:
قَالَ تَزْرَعُونَ سَبْعَ سِنِينَ دَأَبًا فَمَا حَصَدتُّمْ فَذَرُوهُ فِي سُنبُلِهِ إِلَّا قَلِيلًا مِّمَّا تَأْكُلُونَ
Nabi Yusuf berkata: “Kamu hendaklah menanam tujuh tahun berturut-turut seperti biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan pada tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan.”
Hadis Sahih Riwayat Muslim:
احرص على ما ينفعك واستعن بالله
“Bersemangatlah terhadap apa yang bermanfaat bagimu, dan mintalah pertolongan kepada Allah”
Precautionary Savings and Long-term Resource Management atau Perancangan jangka panjang sangat penting untuk memastikan kestabilan ekonomi dan persiapan bagi menghadapi masa depan yang tidak menentu. Prinsip ini selari dengan konsep precautionary savings, di mana persiapan yang rapi dilakukan ketika ekonomi berada dalam keadaan stabil untuk menghadapi sebarang ketidaktentuan atau krisis pada masa hadapan. Long-term resource management pula menekankan pengurusan sumber secara strategik bagi memastikan sumber yang ada mencukupi dan bermanfaat dalam tempoh masa yang panjang bagi menjamin kemampanan berterusan ekonomi sesebuah negara.
Penutup
Secara keseluruhan, rakyat berharap belanjawan yang akan dibentangkan petang nanti akan menumpukan kepada bantuan untuk golongan rentan melalui sokongan kewangan, subsidi barangan keperluan, dan pengurusan inflasi serta kestabilan harga bagi meringankan beban kos sara hidup. Pelaburan dalam pendidikan dan kesihatan dipertingkatkan bagi memastikan akses yang lebih baik kepada semua lapisan masyarakat.
Anak muda mengharapkan penciptaan peluang pekerjaan yang lebih luas dan lebih baik, serta pelaburan dalam sektor teknologi dan kemahiran
yang dapat membantu mereka bersaing di peringkat global. Di samping itu, pengurusan hutang negara yang berhemat sangat diharapkan bagi memastikan belanjawan yang mampan tanpa defisit yang tinggi.
Perlindungan sosial yang menyeluruh, termasuk bantuan kepada warga emas dan mereka yang terjejas, juga menjadi harapan besar rakyat dalam belanjawan ini, agar kesejahteraan rakyat terus dijaga dalam menghadapi cabaran ekonomi yang tidak menentu.
Padi huma ditanam rapi,
Bertanam padi di tanah rata;
Amanah dijaga seikhlas hati,
Harta dibelanja adil sentosa.
Burung pipit terbang ke hutan,
Singgah sebentar di pohon kelapa;
Belanja berhemah asas kestabilan,
Kesejahteraan rakyat terus terjaga
Pagi hari ke kebun padi,
Pulang petang membawa durian;
Sokongan undi sudah diberi,
Peruntukan kami bila disalurkan?
Pohon rendang berbuah ranum,
Daunnya hijau subur menghias;
Peruntukan diberi adil dan umum,
Pembangkang berkhidmat tulus ikhlas.
Daun selasih di tepi perigi,
Mekar mewangi di laman desa;
Royalti minyak jangan dinafi,
Kami juga rakyat Malaysia.
Penulis adalah
DATUK DR AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
– Ijazah Sarjana Muda Syariah Kepujian (Muamalat dan Perbankan Islam),
– Sarjana MA (Hadis)
– Doktor Falsafah Phd (Tamaddun Islam)
Sumber Rujukan:
1. Al-Quran dan Terjemahannya – Rujukan utama dalam memahami panduan Islam tentang keadilan, amanah, dan pengurusan kekayaan.
2. Sahih Al-Bukhari – Koleksi hadis yang membincangkan tanggungjawab pemimpin dan amanah dalam menguruskan rakyat dan sumber negara.
3. Al-Muwatta’ oleh Imam Malik – Kitab hadis yang mengandungi panduan pengurusan ekonomi dan sosial dari perspektif Islam.
4. Ihya Ulumuddin oleh Imam Al-Ghazali – Karya yang membincangkan etika, amanah, dan tanggungjawab dalam kehidupan, termasuk pengurusan kewangan negara.
5. The Wealth of Nations oleh Adam Smith – Sumber rujukan ekonomi moden yang boleh dibandingkan dengan prinsip Islam dalam pengurusan ekonomi. – HARAKAHDAILY 18/10/2024











