
KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, keperluan untuk mengangkat sumpah bagi mereka yang mendapat kerakyatan tidak cukup tanpa mereka menjiwai Rukun Negara.
“Saya ingat tiap-tiap orang ni mesti fasih Rukun Negara dan faham apa makna Rukun Negara. Supaya bila dia jadi rakyat Malaysia dia ada sikap saling cinta-memcintai ataupun dalam bahasa sosiologinya dipanggil ‘we feeling’, semangat kekitaan.
“Kalau tidak, kita akan lihat dua kelas warga negara yang berbeza. Yang lain cuma cari makan, yang lain kita rakyat Malaysia ni sesetengahnya menghadapi kehidupan yang bermacam-macam,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menyatakan perkara ini ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Shahidan turut menyarankan agar mereka yang mendapat kerakyatan perlu mengikuti kursus penguasaan Bahasa Melayu bagi membantu mereka menguasai bahasa itu.
“Ini penggunaan Bahasa Melayu mesti diperketatkan. Saya syorkan menteri yang dikasihi mesti diadakan kursus. Kalau nak kahwin kena ada sijil kursus kahwin, kalau nak jadi warganegara mesti ada sijil kursus Bahasa Melayu.
“Dia kena fasih Bahasa Melayu, tak boleh dipermudahkan yang itu. Jangan ada anak yang duduk di luar negara 18 tahun, balik (Malaysia) tergagang-gagap tak boleh cakap Bahasa Melayu,” katanya.
Tegasnya, pindaan Perlembagaan kali ini tidak harus dilihat seperti ‘pesta’ untuk memberikan warganegara kepada orang asing.
Beliau turut menzahirkan kekesalan apabila mendapat maklumat dari tinjauan beliau bahawa pada waktu ini temuduga kewarganegaraan dilakukan dengan mudah kerana mendapat arahan agar dipermudahkan.
“Ini adalah satu perbuatan yang menyalahi undang-undang, Perlembagaan. Keluhuran Perlembagaan.
“Walaupun kebanyakan kita ada lupa tentang Rukun Negara tetapi inilah kedaulatan undang-undang. Kita kena pastikan supaya mereka boleh fasih berbahasa Melayu,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/10/2024











