Kewarganegaraan: Perlu jaga kedaulatan dan maruah rakyat

Dato’ Seri Hamzah Zainudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan bahawa pindaan berkenaan isu kewarganergaraan mestilah menjaga kedaulatan dan maruah individu-individu yang sudah menjadi rakyat Malaysia.

Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) berkata, isu lain seperti penduduk di Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri adalah suatu isu yang sudah sekian lama membelenggu negara.

“Semasa saya memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, saya memikirkan jika di Sabah lah yang menjadi isu besar, kenapa tidak kita cari satu jalan untuk kita berikan rakyat di Sabah dan Sarawak ini, satu lagi dokumen yang sudah ada di negara kita iaitu MyKAS (Kad Pengenalan Pemastautin Sementara).

- Advertisement -

“MyKAS ini adalah merupakan kad pengenalan sementara. Tiap-tiap lima tahun dia kena apply balik semula. Selepas 15 ke 20 tahun, kita rasa dia ni betul-betul layak (kewarganegaraan), pada saya tak salah untuk dia eligible untuk status dia dinaikkan.

“Kalau daripada MyKAS, kita boleh naikkan taraf dia untuk menjadi PR (Penduduk Tetap), dan akhirnya selepas beberapa tahun, dia boleh diberikan warganegara,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Tambah beliau, isu berkenaan adalah penting bagi memastikan semua rakyat mahupun sesiapa sahaja yang tinggal di Malaysia mempunyai dokumen dan identiti yang sah.

“Saya faham Malaysia ini merupakan sebuah negara yang sempadannya mudah untuk dicerobohi. Maka sebab itu, apa yang dilakukan ini adalah sesuatu yang baik untuk masa depan negara.

“Pada saya tidak salahnya untuk kami di sebelah sini, kalau perkara yang baik ini akan kita sokong untuk kepentingan masa depan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/10/2024

- Advertisement -