
JOHOR BAHRU: Keganasan, penindasan, kezaliman penghapusan etnik dan bangsa berlanjutan lebih setahun di Gaza memperlihatkan lemahnya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kata Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni.
Beliau turut mempersoalkan di manakah peranan negara Islam di dunia yang sedikit pun tidak didengari suaranya dalam kebisingan senjata musuh merobek jiwa dan memusnahkan harta saudara seagama secara ganas tanpa belas ihsan.
“Di manakah OIC? Tidakkah negara-negara umat Islam boleh memainkan peranan secara kolektif untuk mempertahankan saudara mereka di Palestin dan Lubnan?
“Inilah cabaran akhir zaman di mana umat yang ramai, namun terlalu daif dan takut menyatakan kebenaran lantaran menjaga kepentingan duniawi,” ujarnya.
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Pahat berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook PAS Negeri Johor sebentar tadi.
Tambahnya, serangan udara dilancarkan rejim Zionis ke atas Selatan Lubnan dalam tindakan yang boleh disifatkan sebagai operasi peluasan kawasan perang setelah mengakibatkan lebih 42,000 rakyat Palestin terbunuh.
“Hampir 100,000 cedera dan kini 1,500 penduduk Lubnan terbunuh dan lebih sejuta hilang tempat tinggal. Tindakan zalim di luar batas kemanusiaan, namun tiada siapa yang nampak bersedia menghalang keganasan tersebut selain daripada kumpulan pejuang Islam yang ditaja Iran,” katanya.
Jelasnya, keadaan itu seharusnya menyedarkan umat Islam untuk kembali bersatu membina kekuatan kerana dengan penyatuan ummah inilah akan menjadi asas kepada kekuatan.
“Penyatuan ummah yang menyeluruh menjangkaui batas politik kepartian dan mazhab.
“Marilah sama-sama kita terus mendoakan semoga sinar kemenangan akan muncul untuk saudara kita di Palestin, Lubnan dan bumi Syam,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/10/2024











