Kewarganegaraan: Angkat sumpah kesetiaan selepas umur 18 tahun

Muhammad Islahuddin Abas
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) menyokong pindaan baru yang mewajibkan individu memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang untuk mengangkat sumpah kesetiaan dalam tempoh 48 bulan selepas mencapai umur 18 tahun.

Kata beliau, sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual 2 sekiranya pemohon gagal melakukannya, kewarganegaraan mereka akan terbatal secara automatik.

Menurutnya, pindaan itu sangat penting bagi memastikan pemohon yang memperoleh kewarganegaraan melalui undang-undang tetap terikat dengan negara.

- Advertisement -

“Perkara ini sangat penting bagi memupuk semangat kesetiaan dan kecintaan kepada negara asal.

“Perkara ini juga adalah untuk melihat tahap kesungguhan pemohon khasnya ibu bapa yang memohon kewarganegaraan anak dalam kaedah kuatkuasa undang-undang.

“Saya menyokong peruntukan baharu ini bertujuan untuk memastikan mekanisma kawalan dapat dilaksanakan dengan lebih tegas bagi mengekang pegangan lebih dari satu kewarganegaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pindaan itu juga selaras dengan negara lain seperti Singapura, India dan Jepun yang akan membuat pelucutan kewarganegaraan secara automatik jika mendapati individu yang berkenaan yang sudah mencapai umur tertentu gagal pulang untuk mengangkat sumpah taat setia dan melepaskan kewarganegaraan asing yang dimiliki. – HARAKAHDAILY 17/10/2024

- Advertisement -