
KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 yang melibatkan pindaan berkaitan kewarganegaraan diluluskan Dewan Rakyat hari ini dengan undi belah bahagi usai bacaan kali ketiga.
Seramai 207 Ahli Parlimen mengundi di mana seramai 206 Ahli Parlimen menyokong, seorang menentang, 14 Ahli Parlimen tidak hadir sementara seorang dalam penggantungan.
Perkara itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dalam persidangan sesi petang hari ini.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan selesai perbahasan oleh Ahli-ahli Parlimen yang terlibat.
Pindaan itu antara lain memperuntukkan hak sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.
Seramai 76 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan rang undang-undang itu yang berlangsung selama dua hari bermula semalam dan berakhir petang tadi.
Pindaan itu dilihat unik dengan sebahagian besar Ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan terbuka terhadap pindaan itu semasa berucap di dalam perbahasan masing-masing. – HARAKAHDAILY 17/10/2024











