
ALLAH menjelaskan bahawa godaan dan bisikan syaitan hanya berkesan kepada orang yang ada “penyakit” dalam hatinya.
Penyakit ini adalah sifat-sifat buruk seperti kufur, keras kepala, dan hati yang tidak mahu tunduk pada kebenaran. Mereka yang hatinya “berpenyakit” mudah untuk jatuh dalam perangkap syaitan, manakala mereka yang ikhlas dan teguh imannya akan terhindar daripadanya. (Rujuk: Surah Al-Hajj, 53).
Syaitan memang bijak memerangkap manusia. Seperti mana virus yang cepat menyerang tubuh badan yang daya tahannya lemah, begitulah juga syaitan mencari hati yang tidak dijaga. Jika hati kita lemah, maka lebih senang untuk godaan syaitan merebak dan menguasai diri kita.
Bayangkan kanak-kanak yang sering demam; tubuhnya lemah, jadi mudah untuk penyakit menyerang. Begitulah syaitan menghampiri manusia yang jiwanya tidak kuat.
Syaitan pernah memohon kepada Allah agar hukuman ke atasnya ditangguhkan sehingga Hari Kiamat. Dia diberi masa untuk menggoda anak cucu Nabi Adam dengan bermacam-macam cara.
Namun, Allah juga menegaskan bahawa ada satu golongan yang tidak mampu syaitan ganggu: mereka yang ikhlas beribadah, yang hati dan jiwanya teguh.
Orang yang ikhlas ini telah membentengi diri mereka daripada gangguan dan fitnah syaitan dengan keimanan yang benar.
Allah berfirman untuk menekankan bahawa mereka yang berilmu dan benar-benar memahami, akan tahu bahawa ayat-ayat dan keterangan yang datang itu adalah benar daripada Tuhan.
Bila hati seseorang itu bersih dan terbuka, mudah untuknya menerima dan beriman dengan kebenaran. Dengan rasa penuh ketaatan, hati mereka tunduk, dan Allah akan memandu mereka yang beriman ke jalan yang lurus. (Rujuk: Surah Al-Hajj, 54).
Bayangkan hati yang baik seperti air jernih. Jika kita titiskan pewarna merah ke dalam air yang jernih, warna itu segera kelihatan, menyatu dan menghiasi air tersebut.
Tapi kalau air itu sudah keruh, hitam seperti kopi, titisan pewarna merah tidak akan mengubah apa-apa. Sama jugalah dengan hati yang gelap dan tertutup—seruan agama dan kebenaran mungkin kedengaran, tetapi ia tak meresap atau membuahkan apa-apa perubahan.
Orang yang hati nuraninya masih terbuka dan cerah, akan mudah tergerak apabila mendengar ayat-ayat al-Quran atau hadis yang memberi petunjuk.
Tetapi, mereka yang telah mengabaikan hati mereka, akan kekal di tempat yang sama. Mereka tidak merasa takut apabila diingatkan tentang neraka, malah seruan kebaikan tidak sedikit pun menyentuh hati mereka.
Maka, penting bagi kita untuk menjaga hati, membiarkannya sentiasa dalam keadaan jernih dan bersih agar kebenaran mudah meresap dan membuahkan iman serta amal yang baik.
Dengan hati yang bersih, kita lebih mudah untuk memahami dan menerima bimbingan Allah, yang sentiasa menunjukkan jalan lurus bagi mereka yang mencari-Nya. – HARAKAHDAILY 17/10/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















