85 keluarga warga emas terima pampasan Kifaalah RM85,000

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 85 keluarga emas yang meninggal dunia di DUN Bunut Payong menerima pampasan Skim Khairat Kifaalah membabitkan peruntukan RM85,000.

ADUN Bunut Payong, Shaari Mat Yaman berkata, jumlah tersebut dibayar bermula Ogos 2023 sehingga pertengahan Oktober ini.

Katanya, pampasan itu dibayar kepada keluarga selepas warga emas yang mendaftar dengan skim berkenaan meninggal dunia.

- Advertisement -

“Wang tersebut boleh dimanfaatkan keluarga terbabit bagi urusan jenazah dan pengebumian. Sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban keluarga penduduk miskin,” katanya di sini. 

Sebelum itu beliau menyertai program ziarah bersama Skuad Kita Cakna (SKC) DUN terbabit di Kampung Sireh dan Wakaf Siku.

Skim Khairat Kifaalah dilaksanakan kerajaan Kelantan bermula Februari 2007, di mana warga emas yang meninggal dunia akan dibayar pampasan sebanyak RM1,000.

Bagaimanapun Shaari berkata, masih ramai penduduk di DUN Bunut Payong yang berusia 55 tahun dan ke atas belum mendaftar dengan skim berkenaan.

“Saya berharap penduduk DUN Bunut Payong dan Kelantan yang berusia 55 tahun mendaftar dengan skim khairat tersebut.

“Borang permohonan boleh diambil di Pusat Khidmat DUN (PKD) Bunut Payong atau boleh diisi secara online,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/10/2024

- Advertisement -