Dua kanak-kanak hilang sehari: Apa usaha kerajaan?

Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sistem National Urgent Response (NUR) Alert perlu diperkukuhkan berikutan jumlah kes kehilangan kanak-kanak yang tidak menunjukkan penurunan.

Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) berkata, bahkan kes kehilangan kanak-kanak itu kadangkala bertambah sehingga menimbulkan kekhuatiran dan kerisauan.

“Ini kerana kita juga mempunyai anak-anak. Minta lindung daripada anak-anak kita hilang sebagaimana yang telah berlaku. Satu hari (sehingga) dua kes.

- Advertisement -

“Saya juga mengucapkan tahniahlah kepada kementerian dan saya berasa lega kerana 94 peratus rasanya tadi disebutkan anak-anak hilang ini dijumpai.

“Adakah kementerian bercadang untuk melaksanakan sebarang undang-undang atau polisi baru yang lebih ketat berkaitan dengan keselamatan kanak-kanak?” ujar beliau.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Dalam Negeri pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail dalam jawapannya memberitahu, beliau menyambut baik cadangan untuk menambah baik sistem amaran NUR Alert yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan, termasuk NGO, dengan tujuan meningkatkan peluang menemui kanak-kanak hilang.

Beliau berkata, data menunjukkan bahawa 96 peratus daripada kes kehilangan berjaya diselesaikan, namun kebanyakan kes itu berkaitan dengan kanak-kanak yang melarikan diri dari rumah dan terlibat dalam kes rogol.

Muhammad Ismi dalam soalan asal meminta Menteri Menteri Dalam Negeri menyatakan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kementerian bagi menangani kes kanak-kanak hilang yang dilaporkan semakin meningkat dan merekodkan sehingga dua kes sehari dari tahun 2020 sehingga tahun 2024.  – HARAKAHDAILY 17/10/2024

- Advertisement -