Benarkah ada syarikat dilantik ejen utama MM2H?

Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC) diminta untuk mengesahkan sama ada benar bahawa ada syarikat dilantik sebagai ejen utama kepada program Malaysia My Second Home (MM2H.

Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata, perkara itu dikongsikan kepada beliau oleh pemain-pemain industri MM2H itu dalam beberapa pertemuan dengan mereka.

Jelasnya, pada waktu ini beliau dimaklumkan mereka bahawa terdapat dua buah syarikat yang mana masing-masing bertindak seolah-olah sebagai ejen utama dan sub ejen dilantik kementerian bagi program itu.

- Advertisement -

“Mohon Yang Berhormat Menteri nyatakan sama ada ianya benar ataupun tidak? Kerana ia boleh merosakkan nama Yang Berhormat Menteri dan juga Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ini yang mendukung usaha-usaha bagi memperkasakan MM2H ini.

“Kita tidak mahu ada syarikat yang memonopoli industri MM2H ini. Apatah lagi industri MM2H ini terdedah kepada tohmahan apabila melibatkan kewarganegaraan yang terkait dengan soal kedaulatan negara dan juga soal keselamatan negara,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu sewaktu mengajukan soalan tambahan kepada soalan asalnya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mas Ermieyati dalam soalan asalnya meminta Menteri MOTAC untuk menyatakan apakah status terkini berkenaan dengan proses permohonan MM2H di seluruh negara.

Menteri MOTAC, Dato Sri Tiong King Sing dalam jawapannya menafikan kewujudan syarikat tersebut yang dikatakan memonopoli program tersebut.

“Mengenai master agent itu memang tiada. Jika ada sila tolong bagi saya maklumat,” jawabnya ringkas. – HARAKAHDAILY 17/10/2024

- Advertisement -