Jenazah mangsa diserang harimau dikebumi awal pagi tadi

- Advertisement -

KUALA KRAI: Jenazah mangsa yang diserang harimau, Adnan Ismail, 54, selamat dikebumikan kira-kira jam 12.30 pagi tadi di Tanah Perkuburan Kenor, dekat sini.

Jenazah mangsa dibawa dari Hospital Taiping petang semalam setelah selesai urusan bedah siasat dan dibawa ke rumah keluarga Allahyarham di Kampung Ngangoh.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Hilmi Abdullah berkata, beliau bertolak dari Kuala Lumpur kira-kira jam 6 petang semalam untuk membantu menguruskan jenazah arwah.

- Advertisement -

“Saya merakam ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mencari mangsa serta menguruskan jenazah.

“Begitu juga team sukarelawan Mat Jenazah Gua Musang yang memberi khidmat van membawa jenazah dari Gerik ke Kuala Krai.

“Terima kasih juga pada Skuad Bantu Kuala Krai serta Team Barracuda dan Lacar Group yang turut membantu misi mencari dan menyelamat sejak hari pertama kejadian,” katanya di sini.

Media semalam melaporkan Adnan maut diserang harimau dalam kejadian di rumah kongsi Bagan Balak, Km 79.2, Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli.

Pada kejadian awal pagi semalam Adnan dikatakan keluar dari rumah kongsi untuk berwuduk sementara menunggu waktu Subuh.

Menceritakan kejadian itu kepada media isteri kedua Allahyarham, Saina Binsa-i, 54 memberitahu, ketika beliau sedang solat tahajud terkejut mendengar bunyi sesuatu terjatuh di hadapan pintu rumah kongsi yang didiami sejak sebulan lalu.

Katanya, beliau segera keluar meninjau kerana bimbang keselamatan suaminya, namun mendengar bunyi kuat seolah-olah ada orang diseret dari arah semak.

Mangsa sepatutnya pulang ke Kuala Krai pada hari kejadian untuk bertemu keluarga.

Hilmi yang juga ADUN Guchil berkata, jenazah arwah hanya ditemui 100 meter dari rumah kongsi pada pagi kejadian. – HARAKAHDAILY 17/10/2024

- Advertisement -