Taraf kewarganegaraan: Penuhi kehendak undang-undang negara

Dr Abd Ghani Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berpendapat bahawa pemberian taraf kewarganegaraan mengambil kira semua aspek yang memenuhi kehendak undang-undang negara.

Abd Ghani berkata, jika mengambil sikap yang longgar dan bermudah-mudahan terhadap kewarganegaraan maka ia boleh menjejaskan identiti perpaduan dan kedaulatan negara untuk jangka masa panjang yang bakal diwarisi generasi masa hadapan.

“Merujuk Fasal 2 Perkara 15A(iii)c dimasukkan dalam perenggan baru iaitu mempunyai pengetahuan yang mencukupi dalam Bahasa Melayu. Bila merujuk Akta 19(1)c bahawa ia mempunyai pengetahuan yang memadai dalam Bahasa Melayu.

- Advertisement -

“Hal demikian terdapat perbezaan dari sudut istilah yang digunakan, dan mengapa tidak disekalikan atau disamakan perkataan memadai,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan bahawa, apakah kayu ukur bagi maksud mencukupi dalam Bahasa Melayu.

“Akta Perkara 19(1)c menyebut pengetahuan yang memadai dalam Bahasa Melayu dan perbezaan, mencukupi dalam perkara 15A(iii). Jika dirujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka mencukupi bermaksud memadai.

“Adakah hanya pengetahuan yang mencukupi atau memadai Bahasa Melayu sudah layak memohon kewarganegaraan. Saya mencadangkan frasa baru iaitu bahawa ia memahami Bahasa Melayu bagi menggantikan mencukupi Bahasa Melayu,” katanya.

Justeru, beliau bercadang agar pemohon kewarganegaraan dipanggil terlebih dahulu oleh Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara untuk sesi ujian percakapan mengikut merit pemarkahan yang ditetapkan sebelum diluluskan permohonan.

“Pada saya ada ada bezanya antara tahu dan faham. Kalau seseorang tahu mungkin dia tak faham tetapi kalau seseorang itu faham sudah tentu dia tahu,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/10/2024

- Advertisement -