
KUALA LUMPUR: Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) menerima berita yang meragukan daripada sebuah portal, melibatkan kenyataan seorang Tan Sri yang boleh dipersoalkan kesetiaannya kepada negara.
Kenyataan tersebut menurutnya menyebut bahawa kepentingan China harus diutamakan oleh semua parti politik Cina global termasuk parti DAP dan juga MCA.
Beliau menggesa kerajaan menyiasat kebenaran berita itu dan mengambil tindakan yang sewajarnya jika perlu.
Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan kedaulatan negara dihormati dan tidak ada anasir yang menghina negara dibiarkan bebas.
“Kerana saya yakin Ahli-ahli Parlimen yang ada dalam dewan ini memang mengiktiraf kedaulatan negara kita dan cintakan kepada negara yang berdaulat ini dan tidak mahu mana-mana anasir yang mempertikaikan dan menghina kedaulatan negara ini dibiarkan bebas sebegitu rupa,” ujarnya.
Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Selain itu beliau berkata, satu akta atau peraturan perlu diwujudkan bagi menilai perilaku individu yang dianugerahkan kewarganegaraan, dengan pengawasan selepas pemberian kewarganegaraan sebagai mekanisme pemantauan.
Menurutnya, tempoh percubaan perlu diperkenalkan untuk memastikan pemohon memperoleh kewarganegaraan dengan niat tulus, mengelakkan penyalahgunaan untuk tujuan yang salah.
“Permohonan kewarganegaraan sememangnya perlu ada kawalan dan pemantauan yang ketat untuk memastikan kewarganegaraan tidak diberikan dengan mudah atau tanpa alasan yang kukuh.
“Ini kerana kewarganegaraan bukan hanya sekadar status undang-undang tetapi juga melibatkan hak-hak dan tanggungjawab yang besar terhadap negara.
“Kita tidak mahu selepas 10 tahun mereka menjadi warganegara Malaysia terdapat cubaan untuk membawa ideologi luar,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 16/10/2024











