
KUALA LUMPUR: Malaysia disaran mencontohi amalan negara lain, seperti Greece yang meletakkan syarat ketat bagi individu yang ingin memperolehi kerakyatan di negara itu.
Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berkata, calon kewarganegaraan negara itu perlu lulus ujian bahasa serta memahami sejarah dan budaya negara.
Menurutnya, penguasaan bahasa Melayu dan pengetahuan asas sejarah serta budaya Malaysia adalah elemen penting untuk memastikan tahap kesetiaan calon-calon kerakyatan kepada negara.
“Jadi sekiranya seseorang itu hanya diberikan teks jawapan yang mungkin bocor yang sedia ada yang melayakkan diri bagi menerima anugerah kerakyatan maka saya kira ia akan mendatangkan impak yang agak negatif dari segi tahap kesetiaan kepada negara kepada negara kita.
“Hal ini adalah kerana mereka tidak mengenal asal usul negara dan dari segi sejarah, adat resam dan kepelbagaian budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Mohamad berkata, usaha itu selaras juga dengan tujuan asal kewarganegaraan, iaitu untuk memelihara keselamatan, kedaulatan negara serta menggalakkan perpaduan nasional.
Sementara itu, beliau meminta pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan mekanisme yang tuntas untuk mengukur tahap pengetahuan pemohon yang mencukupi tentang sejarah serta budaya Malaysia. – HARAKAHDAILY 16/10/2024











