
TUMPAT: Tiga penduduk miskin di DUN Kelaboran bertuah apabila mereka mendapat rumah dhuafat yang bernilai keseluruhan RM165,000 disumbang kerajaan negeri.
ADUN Kelaboran, Mohd Adanan Hassan berkata, Pusat Khidmat DUN (PKD) Kelaboran berjaya menyiapkan tiga rumah dhuafat tahun ini yang diberi percuma kepada penduduk miskin yang layak.
Katanya, kesemua rumah berkenaan diserahkan kepada pemiliknya termasuk penerima terakhir, Kamaruddin Awang, 51 di Kampung Berangan Hujung.
“Kamaruddin menerima kunci rumah berkenaan kelmarin selepas pembinaannya siap sepenuhnya. Ini membolehkan keluarganya tinggal di kediaman lebih selesa.
“Keluarga Kamaruddin antara penerima yang layak untuk mendapat rumah tersebut memandangkan pendapatan keluarganya tidak seberapa,” katanya di sini. (Foto atas)
Malah katanya, penduduk terbabit sebelum ini bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Kebangsaan Kampung Laut, namun sekarang tidak lagi dapat mencari rezeki kerana sakit.
Menurut Adanan isterinya Noriza Mahak terpaksa mencari rezeki untuk meneruskan kelangsungan hidup keluarga mereka.
“Pada masa yang sama mereka mempunyai seorang anak OKU berusia tujuh tahun,” katanya.
Sementara itu Kamaruddin ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana mendapat rumah sumbangan kerajaan negeri secara percuma.
Katanya, beliau dan isteri memohon untuk mendapat rumah tersebut kira-kira dua tahun lalu setelah tidak dapat lagi bekerja kerana sakit. – HARAKAHDAILY 16/10/2024











