
KOTA BHARU: Penduduk DUN Bunut Payong yang menghadapi masalah kesihatan, namun sukar pergi ke klinik bagi mendapat rawatan boleh menghubungi pejabat Pusat Khidmat DUN (PKD) terbabit.
ADUN Bunut Payong, Shaari Mat Yaman berkata, ada pesakit yang enggan ke klinik kerana takut menelan ubat dan menerima suntikan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan sesetengah daripada mereka terlantar di rumah tanpa mendapat rawatan.
“Saya berharap penghulu mukim memainkan peranan memujuk penduduk terbabit terutamanya warga emas supaya pergi ke klinik kerajaan berdekatan untuk menerima rawatan.
“Ada pesakit yang kita temui tidak boleh berjalan sehingga akhirnya terlantar kerana tidak merawat di klinik atau hospital,” katanya selepas program ziarah bersama Skuad Kita Cakna (SKC) DUN Bunut Payong di sini hari ini.
Sebanyak enam rumah penduduk diziarahi termasuk Kampung Sireh dan Wakaf Siku. Aktiviti itu merupakan rutin mingguan SKC DUN Bunut Payong.
Shaari juga berkata, beliau dan SKC meneruskan agenda menyantuni rakyat tanpa mengira masa dan ketika.
“Kita ziarah bukan semata-mata ketika musim pilihan raya semata-mata, sebaliknya melaksanakan tanggungjawab itu sepanjang masa,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/10/2024











