Kekalkan had umur 21 tahun mohon kerakyatan

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Had umur memohon kerakyatan harus dikekalkan pada umur 21 tahun seperti yang ditetapkan di dalam Perlembagaan Negara Malaysia pada waktu ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berkata, ia adalah bagi mengatasi isu jangkamasa proses permohonan yang sering memakan masa yang lama.

“Saya tahu terdapat kes-kes permohonan di bawah Perkara (a) yang mengambil masa yang agak lama untuk diproses.

- Advertisement -

“Oleh sebab tu semasa saya menjadi Menteri Dalam Negeri kita telah memperkenalkan suatu SOP khusus untuk mempercepatkan tempoh pemprosesan permohonan di bawah Perkara 15(a),” katanya.

Menurut beliau, pengekalan had umur itu penting kerana ia melibatkan kanak-kanak di mana jika berlaku kelewatan di dalam pemprosesan permohonan maka mereka akan terlepas peluang untuk memperolehi kewarganegaraan kerana mereka sudah pun melebihi had umur.

“Justeru itu bagi pandangan saya secara peribadi umur 21 tahun yang sedia di dalam perlembagaan agak wajar dikekalkan.

“Kecualilah jika pihak KDN dapat memberikan suatu jaminan bahawa semua permohonan di bawah perkara 15(a) diproses secara ‘fast track’ dengan izin untuk mengelakkan permohonan yang layak terlepas peluang untuk mohon disebabkan penurunan had umur tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, beliau memahami bahawa pindaan perlembagaan ini bertujuan untuk memperkemaskan lagi undang-undang kewarganegaraan, namun masih terdapat beberapa kelompangan khususnya mengenai kebajikan kanak-kanak dan kaum wanita yang masih perlu diperbaiki.

“Saya dalam beberapa ketika yang lalu telah pun menemui banyak CSO badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang menyatakan rasa kebimbangan sekiranya pindaan perlembagaan ni diteruskan tanpa mengambil kira kepentingan kanak-kanak khasnya dan juga wanita.

“Saya fikir kalau sekiranya perlu, maka mungkin perlulah dirujukkan ke sebuah jawatankuasa khas terlebih dahulu bagaimana yang saya fikir begitu sebelum dapat diluluskan supaya perkara-perkara yang saya bangkitkan ini dapat diteliti semula dan juga ditambah baik,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 16/10/2024

- Advertisement -