BaktiDemiSelangor: DMPNS mantapkan wanita, tangkis tohmahan

Wan Hasrina Wan Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor (DMPNS) menyokong penuh kempen #BaktiDemiSelangor yang baru dilancarkan oleh PAS Selangor sebagai langkah progresif menuju kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-16.

Ketuanya, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan berkata, DMPNS sentiasa bersedia memberikan kerjasama yang erat dalam memastikan kelestarian kempen #BaktiDemiSelangor itu khususnya dalam melibatkan kaum wanita dalam penglibatan menyeluruh dalam gerak kerja pilihan raya. 

- Advertisement -

“DMPNS percaya bahawa kempen #BaktiDemiSelangor ini adalah platform yang baik untuk memperkasakan wanita, sama ada dari segi ekonomi, sosial, mahupun pendidikan. 

“Wanita memainkan peranan penting dalam membina keluarga yang sejahtera dan masyarakat yang harmoni,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, DMPNS akan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam menyantuni semua pengundi wanita Melayu dan bukan Melayu sekali gus dapat terus menangkis tohmahan dan tanggapan buruk terhadap PAS dan pimpinannya. 

“Kempen #BaktiDemiSelangor itu akan terus diperluas ke semua peringkat cawangan dan peringkat dalam memastikan matlamat tercapai selari dengan objektif yang digariskan,” ujarnya.

Tambah Wan Hasrina, DMPNS merasakan kesepaduan akan tercapai dengan penglibatan semua wanita dalam Perikatan Nasional (PN) sehingga mampu mencapai kemenangan pada PRU-16 melalui kempen #BaktiDemiSelangor.

“Kami akan terus konsisten bersama-sama PAS Selangor dalam usaha menjayakan Kempen #BaktiDemiSelangor ini sehingga mencapai kemenangan dalam PRU-16,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/10/2024

- Advertisement -