
ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berharap pampasan ganti rugi sebanyak RM200 juta setahun atas kehilangan pendapatan kerana mengekalkan tanah sawah akan tersenarai dalam Belanjawan 2025.
Beliau juga berharap tersenarai peruntukan pembangunan Kampung Tersusun sebanyak RM70 juta di mana dua perkara itu antara permohonan utama di dalam ‘wish list’ Kedah yang telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
“Saya harap permintaan itu dapat dipertimbangkan serta dimasukkan di dalam Belanjawan Negara 2025. “Harap tu tak ‘delayed’ (tangguh) lagi. Kadang-kadang strategi setengah orang, sebut ‘kita akan kaji’ tapi itulah ‘delayed’,” kata beliau
Ujarnya, permohonan pampasan RM200 juta setahun berkaitan tanah sawah tersebut berikutan pihaknya tidak dapat memajukan kawasan itu untuk pembangunan lain kerana menjadi kawasan simpanan untuk pengeluaran makanan.
Namun katanya, sekiranya kawasan pertanian yang telah dimasukkan ke dalam Rancangan Pembangunan Daerah (RPD) itu dibangunkan, kerajaan negeri akan memperolehi hasil cukai tanah tambahan sebanyak RM200 juta setahun.
Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan
Majlis Penyampaian Tabung Wanita Sejahtera di Dewan Seri Mentaloon, semalam.
Dalam pada itu, ADUN Jeneri itu juga mengharapkan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), termasuk peruntukan tambahan projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA), juga disenaraikan pada belanjawan kali ini agar ia dapat segera disiapkan.
“Termasuk juga peruntukan untuk tanaman padi lima kali dua tahun yang sebelum ini dijanjikan RM3 bilion, kemudian dinaikkan RM5 billon. Peruntukan itu memanglah tidak dimasukkan sekali gus tetapi bergantung berapa yang dibelanjakan dalam setahun,” katanya lain.
Selain itu, beliau juga mengharapkan pembangunan takungan air bawah tanah yang dirancang dibangunkan di Langkawi turut tersenarai pada belanjawan kali ini.
Pada 4 Mei lalu, Sanusi menyerahkan ‘wish list’ Kedah kepada Perdana Menteri ketika mesyuarat khas pembangunan negeri.
Dalam pada itu, Anwar meluluskan serta-merta peruntukan bagi membolehkan Kedah membina infrastruktur di Kampung Tersusun yang akan disediakan kerajaan negeri kepada penduduk miskin.
Melalui peruntukan itu Kerajaan Persekutuan akan menyediakan kos untuk pembinaan infrastruktur seperti sistem perparitan dan jalan raya di 1,200 lot tanah bagi setiap daerah dengan peruntukan kira-kira RM70 juta. – HARAKAHDAILY 16/10/2024












