
PADANG TERAP: Pengarah Khidmat Malaysia Kedah, Nurul Amin Hamid menyampaikan jutaan terima kasih kepada semua sukarelawan yang telah bekerja keras untuk membantu mangsa banjir di negeri berkenaan.
Menurut beliau, Khidmat Malaysia Kedah berjaya membersihkan hampir 20 buah rumah mangsa banjir semalam, melibatkan sukarelawan dari Jabatan Amal dan pelbagai komuniti di Sik, Padang Serai, Pokok Sena, dan Kulim.
“Kampung yang terlibat dalam operasi pembersihan termasuk Kampung Lungguk Pasir, Kampung Alor Madi, Kampung Bukit Derang, Kampung Titi Gajah, Kampung Alor Gunung, dan Kampung Seberang Anak Bukit,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambah beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Padang Terap, pasukan Khidmat Malaysia turut mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Rashidi Razak di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Anak Bukit dan mengadakan perbincangan yang tertumpu kepada keperluan terkini bantuan banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit, di samping penyampaian sumbangan roti kepada mangsa.
“Pusat Operasi Bencana Khidmat Malaysia Kedah akan terus beroperasi sehingga keadaan banjir di negeri ini pulih sepenuhnya
“Kami berkhidmat untuk kemanusiaan dan beramal kerana Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/10/2024











