
ALOR SETAR: Menteri Pertahanan sepatutnya mengeluarkan kenyataan menjawab isu kehadiran Kapal Tentera Laut Negara China yang berlabuh di Pulau Pinang, berikutan ia telah menimbulkan pertanyaan semua pihak termasuk rakyat bawahan.
Ketua Penerangan Muslimat PAS Negeri Kedah, Mardhiyyah Johari yang juga ADUN Pengkalan Kundur berkata, perkara itu sudah berlalu berhari-hari dan kecoh dipersoalkan oleh semua pihak lantaran ia berkait rapat dengan kedaulatan negara.
“Semua pihak sangat risau apatah lagi apabila kehadiran tentera laut dari China itu diberi sambutan hebat oleh Kerajaan Pulau Pinang,” katanya melalui pautan di media _TikTok_ beliau, di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau juga mempersoalkan motif sebenar atau perkara yang hendak disampaikan apabila delegasi itu dibenarkan mengadakan program di sebuah sekolah swasta persendirian Cina di negeri diterajui DAP itu.
“Sekolah dan pelajar itu bagi saya tidak bersalah, tetapi apakah pendidikan yang cuba disemai dengan mengadakan program bersama tentera laut negara asing? Adakah para pelajar itu cuba dipengaruhi agar memberi kesetiaan kepada pihak lain?
“Kenapa sahaja para pelajar itu tidak diprogram bersama Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) agar mereka dapat melihat kehebatan tentera negara kita sendiri,” soalnya lagi.
Perkara itu kata Mardhiyyah terus menjadikan tanda tanya apatah lagi, semua pihak mengetahui Malaysia mempunyai isu berkaitan tuntutan bertindih melibatkan Laut China Selatan dengan Negara China.
“Di mana kenyataan Menteri Pertahanan, sudah banyak hari kecoh isu kehadiran Tentera Laut China ini. Ia menimbulkan kerisauan rakyat kerana berkaitan kedaulatan negara,” tambah beliau.
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam pada itu menyangkal penjelasan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bahawa kunjungan itu melibatkan pensyarah dan pelajar universiti bagi mengikuti program pertukaran budaya.
“Kenyataan ini tidak benar, kerana 165 orang kadet People’s Liberation Army Navy (PLAN) dari kapal Qi Jiguang iaitu kapal latihan adalah mereka yang dalam proses tempoh peralihan.
“(Iaitu) untuk menjadi kelasi penuh Tentera Laut China dan bukanlah pelajar universiti seperti yang dinyatakan Fadhlina,” bidasnya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu mendakwa kapal berkenaan membawa para pelajar universiti dari negara China dan bukannya tentera laut seperti diuar-uarkan.
Malah katanya, program bersama pelajar sekolah swasta aliran China di Pulau Pinang itu adalah sempena ulang tahun hubungan diplomatik ke-50 antara Malaysia dan negara itu.
Bagaimanapun, keterangan itu turut disangkal kerana tarikh kehadiran armada tentera China itu lebih mendekati tarikh berkaitan ideologi komunisme dipegang negara tersebut. – HARAKAHDAILY 13/10/2024











