‘Teknologi’ Allah jauh lebih hebat dari fikiran manusia

- Advertisement -

FENOMENA yang dialami oleh Maryam ini disebut sebagai keramat, iaitu kelebihan luar biasa yang dikurniakan Allah kepada hamba-hamba pilihan-Nya.

Keramat ini juga berlaku kepada para sahabat, contohnya Sayyidina Umar ketika sedang membaca khutbah di Madinah, sementara tentera Islam berada jauh beratus-ratus batu di medan perang.

- Advertisement -

Dalam khutbahnya, tiba-tiba terkeluar dari mulutnya, “Wahai Sariyah, naiklah ke atas bukit!” Beliau menyebut ini sebanyak dua kali, dan orang ramai yang mendengar khutbahnya merasa hairan.

Setelah khutbah selesai dan solat Jumaat ditunaikan, orang-orang bertanya kepada Sayyidina Umar mengapa tiba-tiba beliau menyeru nama Sariyah, yang merupakan seorang panglima perang.

Rupanya, Sayyidina Umar melihat tentera Islam sedang dikepung musuh, dengan bukit di kedua-dua sisi. Musuh mula turun dari bukit, menyebabkan tentera Islam berada dalam keadaan terdesak.

Dengan seruan tersebut, Sayyidina Umar memberi arahan supaya Sariyah dan pasukannya naik ke atas bukit yang kosong untuk mengelak dari serangan musuh. Beberapa ketika selepas itu, Sariyah sendiri menceritakan peristiwa tersebut.

Dia mengatakan bahawa pada saat genting itu, dia benar-benar mendengar suara Sayyidina Umar menyeru supaya naik ke bukit, dan tindakan itu menyelamatkan tentera Islam dari kekalahan.

Fenomena ini berlaku walaupun jaraknya jauh, seolah-olah Sayyidina Umar dapat melihat kejadian tersebut di depan matanya seperti ada “layar” atau paparan langsung.

Mungkin bagi kita sekarang, perkara seperti ini sudah tidak asing, kerana kita boleh menonton siaran langsung melalui teknologi moden yang membolehkan kita berhubung dengan seseorang di tempat yang jauh, seperti dari Kuala Lumpur ke London.

Namun, ini semua adalah teknologi manusia. Keajaiban yang Allah ciptakan melampaui teknologi dan kemampuan manusia, seperti dalam peristiwa Israk Mikraj, di mana Nabi Muhammad s.a.w. dibawa melintasi jarak yang luar biasa dalam sekelip mata. Sesungguhnya, teknologi Allah jauh lebih hebat dan di luar jangkauan fikiran manusia. – HARAKAHDAILY 13/10/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -