154 fasiliti kesihatan dibina RMK-9 hingga RMK-12

- Advertisement -

BACHOK: Sebanyak 154 fasiliti kesihatan di seluruh negara berjaya dibina dan sedang dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) sehingga RMK-12.

- Advertisement -

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Fadillah Yusof berkata, ia melibatkan perbelanjaan sebanyak RM14.69 bilion.

Menurutnya, sebanyak 21 projek fasiliti kesihatan telah dan sedang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Kelantan dalam tempoh RMK-10 hingga RMK-12.

“Ini melibatkan dua projek kesihatan dalam peringkat perancangan, enam projek dalam peringkat pembinaan dan 13 projek berjaya diserah kepada agensi kerajaan.

“Ia merangkumi dua hospital iaitu Hospital Kuala Krai dan Hospital Tanah Merah,” katanya pada majlis penyerahan Projek Siap Hospital Bachok, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Kerjaraya Dato Sri Alexander Linggi serta Exco Kerajaan Negeri, Hilmi Abdullah dan Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Zaini Husin.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu menjelaskan lagi, daripada jumlah itu sebanyak 111 projek dilaksanakan di bawah RMK-9 hingga RMK-11 dan 43 projek lagi dalam RMK-12.

Kata beliau, kerajaan sentiasa memastikan prasarana awam yang disediakan memberi manfaat kesejahteraan rakyat.

“Dalam aspek peruntukan, pecahan kos berdasarkan status pelaksanaan merangkumi fasa pra pembinaan perancangan iaitu 38 projek dengan anggaran kos RM2.33 bilion.

“Fasa projek dalam pembinaan iaitu 64 projek dengan kos RM8.40 bilion manakala fasa pasca siap pembinaan iaitu  sebanyak 52 projek dengan kos RM3.96 bilion,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 11/10/2024

- Advertisement -