
KUANTAN: Teks khutbah Jumaat oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang hari ini melahirkan rasa amat mendukacitakan kerana sejak akhir-akhir ini kecenderungan menghina ulama makin ketara.
“Kita tidak nafikan ulama adalah manusia biasa yang juga terdedah kepada kesilapan,” ujar teks khutbah yang bertajuk ‘Ulama Pewaris Nabi’ itu.
Teks khutbah itu menyebut, namun tidak sepatutnya, sedikit kesilapan kecil diperbesarkan sehingga mengabaikan sumbangan dan jasa lalu membawa kepada penghinaan.
“Situasi ini amat membimbangkan dalam masyarakat Islam di Malaysia. Agama dipermainkan dan ulama dihina kerana mempunyai pandangan yang tidak selari dengan selera mereka.
“Ingatlah! Hanya golongan jahil, fasiq dan munafiq sahaja yang tergamak menghina para ulama,” tambah teks khutbah itu lagi.
Berikut ialah kandungan teks khutbah tersebut.
Ulama memiliki kedudukan istimewa dalam Islam. Ulama adalah orang yang memiliki kepakaran dan keahlian yang mendalam dalam ilmu Islam, mereka memberi sumbangan yang besar untuk mengajar dan menyebarkan ilmu Islam kepada kita semua. Allah Azza Wa Jalla memberi kemuliaan kepada mereka sehingga menyatakan hanya orang yang takut kepada Allah adalah ulama.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Fathir ayat 28 yang bermaksud: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”
Para ulama semenjak zaman sahabat dan diikuti dari satu generasi ke generasi sehingga ke zaman kita hari ini, mereka melakukan tugas yang besar iaitu mewarisi ilmu Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam untuk disampaikan kepada kita.
Hari ini kita mengecapi nikmat hidayah Islam, dapat melakukan ibadat yang benar dan mengetahui hukum halal dan haram kerana jasa para ulama yang menyampaikan ilmu dan dakwah kepada kita.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menyatakan kelebihan ulama dalam hadis riwayat Abu Daud, yang bermaksud: “Sesungguhnya keutamaan ulama ke atas ahli ibadah adalah seperti kelebihan bulan purnama ke atas seluruh bintang. Para ulama adalah pewaris Nabi, mereka tidak mewariskan dinar atau dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu, sesiapa yang mengambilnya, maka ia telah mengambil keuntungan yang besar.”
Berdasarkan hadis ini, ingatlah! Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menegaskan bahawa para ulama adalah pewaris para Nabi.
Allah Azza Wa Jalla dan Rasul-Nya memuji para ulama. Ini menuntut kita semua untuk menghormati dan juga memuliakan mereka. Sejak zaman berzaman para ulama bukan semata-mata menyebarkan ilmu pengetahuan bahkan mereka juga terlibat dalam perjuangan dan jihad.
Sejarah negara kita membuktikan para ulama turut terlibat untuk memperjuangkan kemerdekaan negara dan menghalau penjajah dari tanah air. Tok Gajah, Mat Kilau, Tok Janggut, Tok Ku Paloh, Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Datuk Maharajalela, Tok Kenali dan ramai lagi, mereka semua memberikan kesedaran kepada ummah tentang kewajiban memerdekakan tanah air.
Marilah kita semua menanam perasaan hormat kepada para ulama kerana sumbangan dan jasa mereka yang besar. Lihatlah sanjungan tinggi Imam Ahmad kepada Imam Shafie dengan katanya: “Allah Ta’ala telah menganugerahkan Imam al-Syafi’i kepada kita. Kami telah mempelajari perkataan sesebuah kaum dan menulis kitab-kitab mereka sehingga datang kepada kami Imam al-Syafi’i. Setelah kami mendengar ucapannya, maka kami dapat mengetahui bahawa beliau paling alim berbanding lainnya. Kami telah mendampingi beliau pada siang dan malam hari, maka tiada kami lihat kepadanya melainkan kesemuanya baik”.
Berusahalah untuk mendampingi para ulama yang berhampiran dengan kita untuk mengambil ilmu dan nasihat daripada mereka. Ingatlah kematian para ulama merupakan tanda hilangnya ilmu dan apabila ilmu hilang maka umat terdedah kepada kesesatan sebagaimana hadis Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekali gus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah Azza Wa Jalla menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan”.
Amat mendukacitakan kerana sejak akhir-akhir ini kecenderungan menghina ulama makin ketara. Kita tidak nafikan ulama adalah manusia biasa yang juga terdedah kepada kesilapan.
Namun tidak sepatutnya, sedikit kesilapan kecil diperbesarkan sehingga mengabaikan sumbangan dan jasa lalu membawa kepada penghinaan. Situasi ini amat membimbangkan dalam masyarakat Islam di Malaysia. Agama dipermainkan dan ulama dihina kerana mempunyai pandangan yang tidak selari dengan selera mereka. Ingatlah! Hanya golongan jahil, fasiq dan munafiq sahaja yang tergamak menghina para ulama.
Ketika ulama berdiam diri, mereka digelar dengan syaitan bisu, manakala ketika ulama memberi pandangan, mereka menggelar ulama sebagai penunggang agama. Dalam situasi yang serba tidak kena, ulama yang menyuarakan pandangan dikecam, dan ulama yang berdiam diri turut dikecam. Bagaikan lidah tidak bertulang, jari jemari golongan ini sama laju dengan lidah untuk menghina ulama di media sosial.
Ingatlah, menghina para ulama adalah antara dosa besar. Imam Ibn Hajar al-Haitami Radiallahu Anhu menyenaraikan dosa menghina ulama sebagai salah satu daripada 70 dosa besar. Imam Ibnu Mubarak Radiallahu Anhu pula berkata, Sesiapa yang merendahkan para ulama, maka rugilah akhiratnya. Kesan besar menghina ulama ialah menghilangkan keberkatan hidup, menyempitkan rezeki dan menyebabkan kegusaran dalam masyarakat.
Kesimpulannya, marilah kita memainkan peranan untuk meletakkan para ulama kita di tempat yang sewajarnya kerana mereka adalah pewaris para Nabi. Muliakanlah ulama dengan menerima nasihat mereka serta hadir ke majlis-majlis ilmu. Jauhilah perbuatan menghina para ulama kerana ia akan meruntuhkan agama dan mengundang kemurkaan Allah. – HARAKAHDAILY 11/10/2024











