Naik taraf sistem perparitan atasi banjir kilat

- Advertisement -

KANGAR: Sistem perparitan di beberapa kawasan di Perlis perlu diberi perhatian segera dengan melakukan naik taraf bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku setiap kali hujan lebat.

- Advertisement -

Kawasan seperti Kubang Gajah, Kampung Banat, Kampung Stesen, Kampung Utan Buloh, Jelempok dan Kampung Rambai adalah antara yang sering terkesan dan memerlukan penambahbaikan.

Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim mencadangkan agar pembangunan baharu di negeri ini turut mengambil kira keperluan sistem perparitan yang lebih baik dan berkesan.

Ujarnya, ia bagi memastikan air hujan dapat dialirkan dengan lancar, sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan terjejas.

“Saya perhatikan bahawa di beberapa kawasan, perparitan yang ada sekarang tidak cukup besar untuk menampung aliran air ketika hujan lebat, dan ini menyebabkan banjir kilat.

“Setiap pembangunan baru dan pengubahsuaian rumah perlu menitikberatkan perkara ini supaya masalah banjir dapat dielakkan,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut melawat beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS), termasuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Sena dan SK Kubang Gajah, di sini di mana 327 mangsa daripada 102 keluarga kini ditempatkan.

Pada masa sama, paras air di dua sungai utama di Perlis  mencatatkan bacaan yang membimbangkan, iaitu Sungai Timah Tasoh pada 29.63 meter dan Sungai Gial pada 9.92 meter.

Keadaan ini menambah kebimbangan kemungkinan banjir lebih meluas.

Dato’ Seri Shahidan juga menekankan kepentingan penyelenggaraan sistem perparitan dan longkang yang sedia ada, serta pemantauan kawasan berisiko tinggi agar masalah banjir kilat dapat diatasi dengan lebih berkesan.

“Pemantauan di kawasan yang berpotensi banjir perlu dipertingkatkan, terutamanya ketika musim hujan, supaya sebarang parit atau longkang yang tersumbat dapat dibersihkan segera untuk memastikan air mengalir dengan baik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/10/2024

- Advertisement -