Al-Quran bukan buku sejarah semata-mata

- Advertisement -

CERITA Nabi Uzair ini hadir sebagai bukti nyata kepada kekuasaan Allah SWT, sebab manusia memang sering kali perlukan bukti untuk benar-benar percaya. Kadang-kadang, sekadar kata-kata sahaja tidak cukup untuk meyakinkan hati.

Allah pun menghadirkan cerita ini dalam al-Quran untuk menjadi pedoman. Menariknya, nama Nabi Uzair tidak disebut secara khusus dalam ayat ini, seperti mana ada banyak lagi kisah-kisah lain dalam al-Quran yang tidak menyebut nama watak atau tempat secara jelas.

- Advertisement -

Kata ulama, ini kerana al-Quran bukanlah buku sejarah yang tujuannya untuk menceritakan ‘siapa’ atau ‘di mana’. Al-Quran membawa kisah-kisah ini sebagai ibrah, pengajaran untuk kehidupan kita.

Yang penting adalah pengajaran daripada kisah tersebut, bukan siapa watak atau di mana tempatnya. Allah mahu kita ambil pedoman daripada kisah-kisah ini, agar kita mampu hidup dengan lebih baik.

Bila kita membaca al-Quran, kita perlu berfikir, merenung, dan ambil iktibar. Cerita tentang orang baik, seperti para nabi dan orang soleh, boleh dijadikan panduan dan contoh dalam hidup. Manakala cerita tentang orang jahat, seperti kaum-kaum yang dibinasakan Allah atau pemimpin zalim seperti Namrud dan Firaun, menjadi peringatan kepada kita.

Semua ini Allah hadirkan supaya kita tidak berperangai seperti mereka. Ada yang disumpah menjadi kera, ada yang dimusnahkan, bahkan Abu Lahab juga disumpah oleh Allah kerana kejahatannya.

Kesimpulannya, dua kisah ini (kisah Namrud dan Nabi Uzair) menunjukkan betapa besar kuasa Allah SWT. Allah mampu menghidupkan dan mematikan, seperti yang Dia tunjukkan kepada Nabi Uzair. Jadi, kalau di dunia ini Allah sudah menunjukkan bukti kebangkitan, tidaklah pelik untuk kita beriman dengan hari kebangkitan di akhirat kelak. Kerana, salah satu asas keimanan kita adalah percaya kepada hari akhirat.

Asas keimanan ini ada tiga perkara utama. Pertama, Ilahiyyat, iaitu beriman kepada Allah, termasuk malaikat dan kitab suci-Nya. Kedua, Risalah, beriman kepada para nabi yang diutuskan oleh Allah.

Dan ketiga, As-Sam’iyyat, iaitu beriman kepada perkara-perkara yang kita dengar daripada wahyu, walaupun kita tidak dapat melihat atau menyentuhnya – seperti syurga, neraka, dan hari akhirat. Semua ini kita tahu melalui wahyu yang dibawa oleh para rasul, dan inilah yang menjadi panduan hidup kita di dunia ini. – HARAKAHDAILY 9/10/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -