Kapal perang China: Kenapa Kerajaan Pusat diam?

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria mempersoalkan sikap berdiam seribu bahasa Kerajaan Pusat apabila dilaporkan terdapat kapal perang dari negara China berlabuh di Pulau Pinang.

Ketua Pembangkang DUN Perak yang juga ADUN Gunung Semanggol itu menegaskan, perkara tersebut bukan sahaja perlu diperbincangkan, malah wajar dijelas khususnya oleh Kementerian Pertahanan.

“Kerajaan tidak boleh membiarkan hal ini terus menjadi tanda tanya dan wajar diambil perhatian oleh semua pihak yang terlibat termasuk Kementerian Luar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu beliau juga mempersoalkan sama ada kehadiran kapal Tentera Laut Negara China ini satu lawatan rasmi yang diatur oleh Kerajaan Pusat dan  Kementerian Pertahanan.

Namun pertikai beliau, sekiranya ia merupakan satu lawatan rasmi, mengapa tiada laporan penglibatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Kementerian Pertahanan.

Dalam masa yang sama, Razman juga menzahirkan kebimbangan jika kehadiran kapal terbabit mempunyai kaitan dengan beberapa pencerobohan asing di perairan negara.

Di mana rujuknya, sebelum ini terdapat laporan berlaku ketegangan antara kapal negara China dengan pasukan keselamatan Indonesia serta Filipina.

“Kehadiran 1,000 tentera laut asing walaupun atas nama kadet pelatih adalah sesuatu yang besar, apatah lagi membabitkan kapal perang dan bukan kapal pelancongan.  

“Sebuah kapal perang biasanya dilengkapi peralatan canggih termasuk pengintipan. Apakah isu ini tidak menjadi kebimbangan negara?” tegasnya.

“Kebimbangan serta rasa ingin tahu lebih membuak, apabila dilaporkan seramai 150 Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China mengadakan lawatan atau program di sebuah sekolah persendirian di Pulau Pinang, sepertimana yang tular di media sosial.

“Lebih pelik dan janggal di saat wakil rakyat pembangkang yang dipilih rakyat dilarang mengunjungi sekolah sekalipun mengucapkan hari guru,  tiba-tiba pasukan tentera negara luar yang berfahaman komunis dibenarkan membuat kunjungan besar-besaran.

“Tidakkah Kementerian Pendidikan di maklumkan berkaitan perkara ini?” soal beliau dan turut mempertikaikan laporan kononnya lawatan ke sekolah tersebut atas nama pertukaran budaya, namun sangsi sama ada prosedur melibatkan Kementerian Luar telah dipatuhi.

Dalam pada itu katanya lagi, hanya Exco Pelancongan Pulau Pinang sahaja yang membuat kenyataan sedangkan ia membabitkan hubungan antara negara serta berkaitan ketenteraan.

Sedangkan juga katanya, ia merupakan isu keselamatan yang perlu diperjelaskan oleh Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar termasuk Kementerian Pendidikan. 

Terdahulu, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai meminta orang ramai tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kunjungan dua kapal latihan dari China bersama pelajar dari Naval University of China ke Pelabuhan Pulau Pinang Sabtu lalu.

Kunjungan silaturahim itu dakwanya dibuat mengikut saluran rasmi dan Pegawai Residen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pulau Pinang turut hadir dalam kunjungan tersebut.

“PAS Perak merasa amat wajar serta bertanggungjawab mendesak kerajaan memberi jawapan kepada persoalan yang berlegar di pemikiran rakyat kini.

“Jangan biarkan isu keselamatan negara terus di persoalkan dan kerajaan membisu dalam perkara yang sangat penting ini,” bidas Razman.

Sabtu lalu, dua kapal milik Tentera Laut China, iaitu Kapal Qi Jiguang dan Kapal Jinggangshan tiba di pelabuhan Pulau Pinang Malaysia yang didakwa untuk memulakan lawatan muhibah selama tiga hari di Pulau Pinang.

Dalam tempoh lawatan tersebut, armada itu menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk pertemuan dua hala, hari terbuka kepada awam, majlis resepsi di dek dan pertukaran profesional.

Ia dikatakan bertujuan meningkatkan pertukaran serta kerjasama dan memupuk rasa saling percaya antara tentera laut China dengan Malaysia. – HARAKAHDAILY 9/10/2024

- Advertisement -
- Advertisement -