
7 Oktober 2024, genap setahun Perang ke atas Gaza yang dinamakan oleh pejuang Palestin sebagai Taufan Al-Aqsa.
Pada hari Jumaat 13 Oktober 2023, Dewan Ulamak PAS Kemaman mengadakan himpunan aman di luar Masjid Kampung Pasir Minal, Kemaman bagi menyokong Palestin, terutama Gaza. Saya percaya ia juga diadakan di seluruh negara dan pelosok dunia.
Ketika itu tidak pasti adakah perang ke atas Gaza ini akan mengambil masa yang panjang atau tidak.
Hari ini, sudah 9 Oktober 2024. Ini bererti sudah lebih setahun Taufan Al-Aqsa ini berlaku. Rejim Zionis mungkin menyangka mereka dapat menghapuskan pejuang Palestin dalam masa yang singkat.
Kalau menurut hukum adat, HAMAS, Briged Al-Qassam sudah lama dihapuskan. Gaza sudah lama dikepung dari semua aspek. Amerika Syarikat, Britain dan negara sekutu rejim memberikan bantuan yang sangat besar dan banyak dari pelbagai aspek terutama persenjataan. Ibarat tinju, lawan sudah lama tumbang kerana kategori berat badan yang tidak sama.
Menurut hukum syarak dan akal, ia tidak demikian. Nas syarak, sama ada ayat al-Quran dan hadis menyebutkan tentang segolongan umat ini yang terus berjuang menegakkan panji kebenaran dan Islam. Hukum akal berkata, tidak mustahil pejuang Palestin boleh menang mengatasi tentera rejim Zionis.
Pagi 7 Oktober 2024, selepas setahun Gaza dihujani bom dan pelbagai senjata canggih musuh, pejuang masih mampu melancarkan 5 roket ke Tel Aviv. Serang-hendap ke atas tentera musuh di utara Gaza dan tempat-tempat lain masih berlaku.
Menurut seorang pakar ketenteraan yang mengupas perkara ini di TV Al-Jazeera, serangan 5 roket pejuang Palestin ke Tel Aviv ini menggambarkan dan memberi isyarat bahawa pejuang Palestin masih mampu berperang dengan rejim Zionis, walaupun telah dilanyak sedemikian rupa selama setahun dalam Taufan Al-Aqsa ini.
Abu Ubaidah juga muncul untuk ke sekian kalinya di kaca TV. Beliau menegaskan beberapa perkara yang sepatutnya menjadi perhatian kepada umat Islam seluruh dunia, bukannya memberi perhatian kepada isu rumahtangga orang lain yang tiada kaitan dengan kita.
Saya rasa pernah menulis sebelum ini bahawa almarhum Dr Fadl Hasan Abas, seorang pensyarah kelahiran Palestin, pakar dalam bidang tafsir, buta matanya tetapi hatinya tidak buta, pernah menyebut dalam satu ceramah di Universiti Yarmouk, Irbid: “Ayat al-Quran dalam surah Al-Isra yang menyebutkan Bani Israel akan membuat kerosakan di bumi 2 kali, maka kali kedua itu ialah zaman kita ini. Mereka akan menjadi sangat hebat, tetapi apabila mereka sampai di kemuncak, mereka akan jatuh”. Katanya lagi: “Tentera Yahudi tidak minat berperang. Mereka lebih suka berhibur, enjoy, bersuka-suka”.
Almarhum guru saya, Dr Nuh Ali Salman Al-Qudha, mantan Mufti Jordan pernah menyebut dalam satu ceramahnya: “Hadis yang menyebutkan ‘kayu dan batu memberitahu orang Islam di belakangnya ada Yahudi, bunuhlah dia’ menunjukkan mungkin orang Islam yang melawan tentera Yahudi itu diberi karamah oleh Allah sehingga berlakunya perkara yang mencarikkan adat itu”.
Pemimpin HAMAS, Khaled Mesh’aal menyebutkan bahawa pejuang Palestin akan bangkit kembali seperti burung ‘Phoenix’.
Kata-kata ini tidak mustahil. Perang kali ini tidak sama dengan Perang 6 Oktober. Tidak juga sama dengan perang-perang yang lain. Soalannya berapa lama ia akan terus berlaku? Panjang lagikah perang ini? Sempatkah bumi Gaza dibangunkan semula, atau ia akan terus dibedil dan dibedil oleh rejim Zionis?
Hakikatnya kita berada di akhir zaman. Tanda kiamat semakin hampir sudah terlalu banyak.
Justeru, apa tindakan anda? Hanya berpeluk tubuh?
Palestin sentiasa di hati,
Ia dibedil, dilanyak tapi tidak akan mati,
Isu Palestin tetap akan menggegar bumi,
Buatlah sesuatu untuk Palestin, jangan menyepi dan menyendiri. – HARAKAHDAILY 9/10/2024

Penulis ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Kemaman.











