Hidup kembali setelah mati 100 tahun

- Advertisement -

KISAH yang terkandung dalam ayat 259 Surah al-Baqarah ini adalah satu peringatan tentang kekuasaan Allah yang tidak terbatas, khususnya dalam hal membangkitkan semula makhluk selepas mati.

Ayat ini mengisahkan Nabi Uzair, seorang nabi daripada kalangan Bani Israel, yang suatu hari keluar menunggang keldainya dan tiba di sebuah kampung yang telah ditinggalkan. Kampung itu sudah runtuh segala bangunannya, penduduknya tiada, dan segala binatang pun telah mati.

- Advertisement -

Nabi Uzair termenung sambil memikirkan, bagaimana Allah akan menghidupkan semula tempat dan makhluk yang sudah hancur lebur, tinggal rangka tulang sahaja. Bukanlah baginda tidak percaya kepada Allah, cuma dia berfikir dalam diam bagaimana proses itu akan berlaku. Ketika itulah Allah mematikannya. Uzair pun jatuh dari keldainya dan mati, bukan sebentar, tetapi selama 100 tahun.

Setelah seratus tahun berlalu, Allah menghidupkan kembali Nabi Uzair. Oleh kerana baginda seorang nabi, baginda dapat berkomunikasi terus dengan Allah. Allah bertanya kepadanya, “Berapa lama kamu rasa telah tidur?” Nabi Uzair menjawab, “Sehari atau setengah hari.” Allah pun memberitahu bahawa baginda telah mati selama 100 tahun.

Untuk membuktikan perkara ini, Allah menyuruh Nabi Uzair memeriksa sekelilingnya. Makanan yang dibawa masih utuh, tidak rosak, tetapi keldainya telah mati, tinggal tulang belulang sahaja.

Allah kemudian menunjukkan satu keajaiban – Allah tidak membiarkan tulang keldai itu reput, sebaliknya menyusun semula tulang-tulangnya, menyalutnya dengan daging, dan menghidupkan semula keldai tersebut di hadapan mata Nabi Uzair.

Melihat semua ini, barulah Nabi Uzair memahami sepenuhnya bagaimana Allah boleh menghidupkan semula orang yang telah mati, walaupun jasad mereka telah hancur.

Setelah menyaksikan dengan matanya sendiri, Nabi Uzair pulang ke kampungnya. Namun, setelah seratus tahun, segala-galanya telah berubah. Baginda sudah tidak mengenali sesiapa, dan begitu juga sebaliknya.

Semua orang kampung tidak mengenalinya, kerana yang ada hanyalah keturunan-keturunan jauh – cucu dan cicitnya. Namun, ada seorang budak yang wajahnya mirip dengan anak Nabi Uzair, dan dari situlah baginda mula menceritakan apa yang berlaku kepadanya selama 100 tahun tersebut.

Penduduk kampung yang mendengar kisah ini menjadi yakin dengan kebesaran Allah SWT. Mereka percaya kepada kehidupan selepas mati kerana mereka telah menyaksikan saksi hidup yang telah mengalami kebangkitan semula setelah seratus tahun. Kisah ini menjadi bukti nyata kekuasaan Allah SWT yang tidak dapat ditandingi. – HARAKAHDAILY 8/10/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -