
KUALA LUMPUR: Menteri Agama telah mengeluarkan kenyataan dan menyatakan pendiriannya berkaitan isu penganjuran Larian Antarabangsa HASH Asia 2024 melibatkan unsur Lesbian Gay Biseksual dan Transgender (LGBT) yang berlaku di Johor baru-baru ini.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz), Ahmad Syakir Norazli bagaimanapun mempersoalkan sehingga hari ini masih belum ada apa-apa kenyataan daripada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) sendiri berkaitan isu berkenaan.
Tambah beliau, ‘Geng Ustaz’ merasakan berkemungkinan kenyataan Menteri Agama itu telah dibuat tanpa persetujuan daripada PMX berikutan pendirian Perdana Menteri sendiri yang secara jelas menyatakan pendiriannya tidak setuju dengan tindakan KDN merampas jam yang mempromosi unsur LGBT suatu masa dahulu.
Ia menurut beliau, seperti yang telah dinyatakan PMX di dalam satu wawancara beliau bersama Mehdi Hassan dan menganggap tindakan itu bukan suatu perkara mustahak yang perlu didukung oleh kerajaan ketika ini.
“Biarpun kenyataan daripada kerajaan negeri khususnya daripada Menteri Besar Johor telah dibuat menyatakan pendirian, dan dilaporkan tindakan telah diambil.
“Namun Geng Ustaz berpandangan ianya masih dilihat sangat lembut menghukum pihak berkenaan sedangkan kerosakan besar telahpun dibawa daripada penganjuran program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily hari ini.
Tambahnya, Geng Ustaz berpendapat satu tindakan yang keras dan hukuman berat sepatutnya perlu diambil sama ada kepada pelaku-pelaku berpakaian songsang dan tidak sopan ataupun kepada penganjur.
Kata beliau, ia seiring dengan rosak dan tercemarnya imej negeri dan negara ini dengan aksi biadab berkenaan dan pelaku perlu didenda dengan denda yang berat dan wajar, manakala penganjuran dan penganjurnya perlu diharamkan.
“Tindakan tegas tersebut boleh memberikan satu mesej yang jelas bahawa kerajaan yang ada pada hari ini tidak akan berkompromi dengan sebarang ideologi songsang yang merosakkan budaya dan masyarakat Islam.
“Khususnya di Malaysia setelah beberapa kejadian yang membawa ideologi yang sama telahpun berlaku sebelum daripada ini dengan alasan ‘terlepas pandang'” katanya.
Tambah beliau, tanpa disedari promosi ideologi dan permikiran songsang perlahan-lahan terlepas masuk ke dalam negara sejak dua tiga tahun ini, namun tindakan tegas itu tidak berlaku dan ini sesuatu yang amat membimbangkan.
“Ke mana sebenarnya hala tuju negara jika ketua negara sendiri merasakan perkara ini bukan sesuatu yang dianggap keutamaan untuk dibendung?
“Maka sikap berkompromi dengan idealogi sesat begini wajar dikecam dan ditolak oleh semua umat Islam di Malaysia setuntasnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/10/2024











