
ARAU: Muhammad Firdaus Mohd Sobri, 23, dari Sungai Petani, Kedah, memilih menunggang motosikal seorang diri bagi mendaftar sebagai pelajar baharu Sarjana Muda di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Firdaus berkata, tindakan yang memberikan pengalaman bermakna buat dirinya itu dimulakan seawal jam 6:30 pagi dengan perjalanan hanya berpandukan aplikasi Waze.
Dia nekad tidak mahu menyusahkan keluarganya walaupun membawa muatan barangan peribadi kerana menunggang motosikal telah menjadi rutinnya untuk ke mana-mana termasuk bagi melakukan pendaftaran itu.
“Lagipun ibu bapa saya mempunyai urusan lain yang tidak dapat dielakkan,” katanya selepas disambut oleh Naib Canselor, Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli di pintu gerbang Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra, di sini semalam.
Firdaus, anak keempat daripada lima beradik, pernah bekerja di Intel selama dua tahun selepas menamatkan pengajian Diploma di Politeknik Kulim pada 2022.
Pengalaman bekerja dan kerap berulang-alik ke Pulau Pinang menjadikan perjalanan jauh ini satu kebiasaan bagi dirinya.
Kini, dia mengambil keputusan untuk menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Awam Pembinaan di UniMAP demi meningkatkan taraf pendidikannya.
Sementara itu, seorang lagi pelajar baharu, Vignesshwaran Balakrishnan, 23, yang mempunyai masalah pendengaran, turut teruja untuk memulakan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektronik.
Vignesshwaran yang berasal dari Perak hadir bersama ibunya dan sepupu setelah kehilangan bapanya dua tahun lalu.
“Saya menggunakan alat bantuan pendengaran untuk memudahkan urusan seharian dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depan keluarga saya,” katanya.
Ibunya yang bekerja sebagai jururawat merupakan sumber utama pendapatan keluarga.
Muhammad Firdaus dan Vignesshwaran adalah sebahagian daripada 2,059 pelajar baharu yang mendaftar di UniMAP pada sesi pendaftaran kali ini. – HARAKAHDAILY 6/10/2024












