
ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mencatatkan kejayaan dalam kebolehpasaran graduan, dengan kadar kebolehpasaran graduan tahun 2023 mencapai 97.7 peratus.
Menurut Naib Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli, ramai graduan universiti ini berjaya mendapat pekerjaan di syarikat multinasional dengan gaji permulaan melebihi RM4,000 sebulan.
Beliau turut berkongsi pengalaman bertemu dengan dua alumni UniMAP yang kini bekerja sebagai jurutera di syarikat besar di Singapura, iaitu Micron Semiconductor Singapore dan Primustech Ltd.
“Ini membuktikan bahawa graduan UniMAP sentiasa menjadi pilihan industri, dan ibu bapa tidak perlu risau tentang masa depan anak-anak mereka,” ujar Zaliman.
Zaliman berkata demikian semasa Majlis Taklimat Kepada Waris Bersama Naib Canselor bersempena Minggu Suai Kenal (MSK) Sarjana Muda sesi akademik 2024/2025, di sini semalam.
Pada majlis itu, beliau turut memaklumkan, UniMAP menerima seramai 2,059 pelajar baharu untuk sesi akademik ini, satu peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
“Kemasukan ini menunjukkan bahawa UniMAP terus menjadi pilihan utama anak muda yang ingin melanjutkan pengajian,” tambah beliau.
Beliau turut memberi jaminan bahawa UniMAP menyediakan kemudahan penginapan 100 peratus di dalam kampus kepada semua pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka.
UniMAP memiliki enam kolej kediaman, termasuk Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah dan Kolej Kediaman Tuanku Abdul Rahman, serta beberapa pusat perumahan di Pauh Putra, Wang Ulu, Simpang Empat, dan UniCITI Alam di Padang Besar.
“Ibu bapa tidak perlu risau tentang keselamatan anak-anak kerana pihak universiti sentiasa memantau keadaan mereka,” katanya.
Sepanjang Minggu Suai Kenal, pelajar baharu akan diberi pendedahan mengenai kemudahan dan bantuan kebajikan yang disediakan untuk menyokong pengajian mereka di UniMAP. – HARAKAHDAILY 6/10/2024












