RPMM Tok Jembal dijangka siap tahun ini

Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah
- Advertisement -

KUALA NERUS: Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal dijangka siap dan diserahkan kepada pemilik dalam tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, RPMM Tok Jembal bukan sahaja menarik perhatian ramai kerana reka bentuknya yang moden dan berwarna-warni, tetapi juga menyediakan pilihan perumahan mampu milik yang sangat dinantikan oleh penduduk tempatan.

Beliau berkata, setelah membuat lawatan ke tapak pembinaan beberapa bulan lalu, projek itu dilihat telah mencapai kemajuan lebih daripada 95 peratus.

- Advertisement -

“Saya telah dimaklumkan oleh pihak Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) selaku pengurus projek yang menyatakan bahawa projek perumahan itu dari sudut progress sudah lebih daripada 95 peratus. Sikit sahaja lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucapa di Program Dialog EXCO di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru Kuala Nerus, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masalah yang dihadapi termasuk kelewatan dalam beberapa aspek pembinaan yang menyebabkan penangguhan sedikit daripada jadual asal, namun kerja-kerja tersebut kini berada di peringkat penyelesaian akhir.

“Ada beberapa isu dan masalah yang berlaku dalam pembinaan rumah pangsa tersebut dan sekarang ini kita telah pun menyerahkan kepada kontraktor penyelamat untuk membuat kerja-kerja akhir kepada rumah pangsa tersebut.

“Insya-Allah saya menjangkakan dalam tahun ini juga kita akan dapat membuat penyerahan kepada pemilik-pemilik yang sudah yang telah pun di pilih, senarai penama yang berjaya untuk menduduki rumah tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/10/2024

- Advertisement -